Malaysia Ulangi Komitmen Dalam Pemuliharaan Populasi Harimau

Diterbitkan: Jumaat, 10 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya dalam melindungi dan memulihara populasi harimau pada Sidang Kemuncak Harimau yang diadakan di St. Petersburg, Russia, baru-baru ini.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataan Jumaat, berkata pada sidang kemuncak itu, menteri berkenaan Datuk Seri Douglas Uggah Embas menyatakan bahawa tindakan yang berani dan tegas akan membolehkan populasi harimau liar di peringkat global berganda menjelang 2022 dalam usaha mengatasi masalah kupupusan haiwan itu.

"Adalah penting untuk pemimpin mengambil keputusan dan tindakan yang berani dan tegas melalui program pemulihan harimau global (GTRP) untuk menyelamatkan harimau liar dan menggandakan jumlahnya menjelang 2022," kata kenyataan itu.

Malaysia telah menggunapakai Pelan Pemuliharan Harimau Kebangsaan (NTCAP) tahun lepas dengan objektif utama untuk mempunyai 1,000 harimau liar menjelang 2020 dan ia menggariskan 80 pelan tindakan yang mesti dilaksanakan dengan usahasama pelbagai pihak bagi memastikan objektifnya tercapai.

"Malaysia juga telah mengambil pelbagai langkah sampingan untuk menyokong peningkatan populasi harimau liar. Sejak tahun lepas moratorium dibuat terhadap kegiatan memburu spesis harimau tertentu di seluruh negara," kata kenyataan itu.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan meluluskan projek penyelidikan khas mengenai pengawasan harimau dalam usaha mengawasi pelaksanaan NTCAP dan untuk melihat perkembangan jumlah sebenar harimau di hutan.

"Dengan data khusus yang baru, projek itu akan membantu memastikan objektif NTCAP untuk mempunyai sehingga 1,000 harimau liar menjelang 2020 dicapai," kata kenyataan itu. Dalam usaha melaksanakan NTCAP, pelbagai sumber seperti peruntukan, modal insan dan teknologi amat diperlukan.

"Menyedari kos yang tinggi dalam pemuliharaan harimau dan habitat haiwan itu, Malaysia menyokong penuh cadangan 'Wildlife Premium Market+REDD' di mana negara maju lebih komited dan boleh memainkan peranan yang lebih banyak dan berkesan dalam pemuliharaan harimau di seluruh dunia.

"Semua usaha ini perlu dikuatkuasa dan disokong oleh kerjasama yang kuat di peringkat antarabangsa untuk memerangi perdagangan rentas sempadan haiwan liar secara haram," katanya.

Menurut Tabung Hidupan Liar Dunia dan pakar lain, kini hanya terdapat 3,200 harimau di hutan, berbanding kira-kira 100,000 seabad lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan