Bagi Samy Vellu, Urusan Berjalan Seperti Biasa

Diterbitkan: Jumaat, 10 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Semua urusan berjalan seperti biasa bagi Datuk Seri S.Samy Vellu, 74, apabila beliau melakukan lawatan ke seluruh negeri ini dan merasmikan majlis walaupun hanya empat hari lalu beliau melepaskan jawatan sebagai presiden MIC yang dipegang sejak 31 tahun lepas.

Sama seperti hari-hari lain, bekas presiden MIC itu hari ini merasmikan bangunan baru untuk sekolah Tamil Sangetha Sabah di sini, dan dijadual untuk ke utara lewat Jumaat bagi menghadiri majlis perpisahan untuk beliau anjuran MIC Kedah.

Sehari sebelum beliau mengumumkan pesaraannya daripada politik Isnin lepas, Samy Vellu berkata bagi beliau ia adalah "kerja seperti biasa", malah menggambarkan dirinya sebagai "enjin berkuasa diesel".

Berucap pada majlis sekolah Tamil Sangeetha Sabah, Samy Vellu berkata beliau akan terus berkhidmat untuk masyarakat India dan sekolah Tamil akan sentiasa dekat di hatinya.

Semasa memegang kepimpinan MIC sejak 1979, Samy Vellu memulakan beberapa projek pembangunan untuk sekolah Tamil dengan mendapatkan peruntukan kerajaan.

Menurut pembantunya, Samy Vellu mempunyai hujung minggu yang sibuk, dengan kemuncaknya ialah pelancaran biografi beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mines di Seri Kembangan, Selangor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad.

Buku yang ditulis penulis tempatan Bernice Narayanan adalah kisah hidup Samy Vellu sejak beliau dilahirkan sehingga menjadi pemimpin parti politik yang ketiga terbesar dalam Barisan Nasional.

Pembantu itu berkata walaupun telah menyerahkan jawatan presiden MIC kepada Datuk G.Palanivel, masyarakat India masih meminta bantuannya dan meminta beliau merasmikan majlis mereka.

Beliau berkata Samy Vellu juga menerima banyak permintaan untuk mengadakan temubual daripada pihak media.

"Sudah pasti, beliau akan memenuhi permintaan untuk temubual memandangkan beliau mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan mereka (media)," katanya.

Beliau berkata pada masa ini Samy Vellu beroperasi dari pejabatnya di Institut Pembangunan Pendidikan Maju bertempat di ibu pejabat MIC, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan