Tarikh Sebenar Kerajaan Melayu Melaka Perlu Diselesaikan Segera

Diterbitkan: Khamis, 9 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isu penemuan tarikh baru kerajaan Melayu Melaka yang dikatakan diasaskan pada tahun 1262 dan bukannya 1400, perlu diselesaikan segera sebelum mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata ia penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul di kemudian hari.

Katanya, ketika ini kajian penemuan tarikh terbaru itu sedang dijalankan oleh agensi kerajaan negeri Melaka, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan difahamkan banyak persoalan timbul hasil daripada penemuan tersebut yang belum terjawab.

"Saya juga ada terlibat dalam jawatankuasa itu, tetapi bukan sebagai penyelidik dan didapati banyak persoalan yang timbul untuk menentukan tarikh mana yang betul.

"Kalau hendak dilihat berdasarkan pada tarikh dalam konteks kubur-kubur yang kita lihat pada zaman kerajaan Johor-Riau-Lingga itu, kita harus lihat bagaimana kita hendak sesuaikan tarikh baru dengan data tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau yang juga pakar arkeologi berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Hubungan Kerajaan-kerajaan Awal di Malaysia Sebelum 1400 Masihi" sempena Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi Ke-23 di Jabatn Arkib Negara.

Majlis itu yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara, Dr Samsiah Muhamad, menyaksikan hampir 100 orang dari persatuan sejarah negeri, pensyarah serta mahasiswa menyertai majlis itu anjuran jabatan berkenaan.

Pada 31 Mei lepas, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan bahawa sepasukan penyelidik yang dilantik kerajaan negeri menemui tarikh baru kerajaan Melayu Melaka diasaskan iaitu pada tahun 1262, yang sekaligus menolak tarikh yang diumumkan sebelum ini iaitu 1278 oleh pasukan penyelidik itu pada bulan lepas dan juga menolak pendapat penulis terdahulu yang menyatakan Melaka diasaskan pada tahun 1400.

Nik Hassan Shuhaimi berkata biarpun penemuan tarikh terbaru itu diperakui oleh kerajaan Melaka, namun dalam bentuk akademik ia perlu dibincangkan secara jitu bagi memastikan kesahihan tarikh tersebut agar ia dapat digunakan oleh generasi akan datang.

"Justeru, saya rasakan 'dialog' antara pakar arkeologi, masyarakat, amat penting untuk dipraktikkan serta diperbanyakkan selepas sesuatu penemuan terbaru bagi memastikan semua pihak berpuas hati kerana sejarah berasaskan kepada konsep kebenaran.

"Selalunya, apabila ahli arkeologi menemui sesuatu, mereka akan terus mengumumkannya tanpa mengadakan "dialog" dan saya lihat situasi ini perlu diubah kerana kadangkala kesimpulan yang mereka ambil hasil daripada penemuan itu dipengaruhi oleh pemikiran, mazhab dan kepercayaan mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan