Insentif Untuk Usahawan Industri Halal - Berita Semasa | mStar

Insentif Untuk Usahawan Industri Halal

Diterbitkan: Khamis, 9 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada usahawan-usahawan termasuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menggalakkan perkembangan industri halal di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata kerajaan menyedari potensi industri halal ini sangat besar dan kerana itu kerajaan menekankan untuk mengembangkan industri halal.

Katanya, usaha itu selari dengan hasrat kerajaan yang sedang berusaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah pengeluar makanan halal utama di dunia.

"Ketika ini nilai pasaran produk halal global tidak termasuk sektor perbankan dianggarkan bernilai RM7.5 trilion dengan 67 peratus daripadanya adalah produk makanan dan minuman," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Karnival Silatulrahim dan Ekspo Perdagangan (Karsep) 2010 di sini hari ini.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan merasmikan majlis tersebut.

Kira-kira 200 kiosk usahawan tempatan dan luar dari Thailand dan Indonesia dibuka sempena karnival tersebut yang bermula hari ini sehingga Ahad ini.

Mashitah yang juga Penaung Karsep 2010 berkata permintaan terhadap makanan halal dijangka bertambah berdasarkan kepada jumlah penduduk Islam seluruh dunia yang dianggarkan tiga bilion tahun ini.

"Selain itu ia turut disokong oleh faktor peningkatan pendapatan dan kesedaran masyarakat untuk mendapatkan makanan selamat, berkualiti tinggi, bersih serta menepati standard.

"Produk dan perkhidmatan halal bukan sahaja terhad kepada pengguna Islam, malah semakin diterima oleh pengguna bukan Islam.

"Perubahan itu sudah pasti memberi kesan positif kepada pembangunan industri halal negara," kata beliau.

Beliau berharap agar para usahawan yang terlibat dalam Karsep menjadikan program itu sebagai satu proses pembelajaran yang berterusan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan