Samy Vellu: Presiden MIC Paling Lama

Diterbitkan: Selasa, 7 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sukar untuk mentafsir maksud tersirat di sebalik air muka yang tenang dan penuh dengan senyuman Datuk Seri S.Samy Vellu ketika mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden MIC yang paling lama, iaitu lebih tiga dekad.

Tokoh politik berusia 74 tahun itu kelihatan ceria dan sesekali ketawa apabila menjawab soalan daripada pihak media yang bersesak-sesak pada sidang akhbar beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) buat kali terakhir, yang berlangsung lebih tiga jam di ibu pejabat parti itu di sini Isnin.

Walaupun tempoh jawatan Samy Vellu sebagai presiden sepatutnya berakhir pada Mac 2012, bekas Menteri Kerja Raya itu membuat keputusan untuk melepaskan jawatan lebih awal bagi memberi laluan kepada timbalannya Datuk G.Palanivel membuat persediaan yang mencukupi sebelum parti itu berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13.

Samy Vellu dilantik sebagai pemangku presiden parti itu berikutan kematian Tan Sri V.Manickavasagam pada 13 Sept 1979, dan semasa itu Tun Hussein Onn merupakan perdana menteri ketiga Malaysia.

Malah beliau merupakan pemimpin veteran parti Barisan Nasional (BN) yang terakhir meletak jawatan berbanding rakan seangkatannya, antaranya seperti Tun Dr Lim Keng Yaik yang menerajui Gerakan selama 26 tahun sejak 17 Ogos 1980 sehingga 8 April 2007, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Umno selama 21 tahun sejak 1981 hingga 2002, dan Tun Dr Ling Liong Sik yang menerajui MCA selama 16 tahun sejak 1987 sehingga 2003.

Samy Vellu yang pernah menjadi pelakon drama Tamil "Natpu" pada tahun 1954, dan penyampai berita di RTM pada taun 1964, melibatkan diri dalam politik sejak tahun 1959 dengan menjadi anggota MIC cawangan Batu Caves dan memegang jawatan setiausaha cawangan itu.

Beliau pernah dipilih sebagai ketua pemuda MIC pada tahun 1971, Naib Presiden MIC (1975), Timbalan Presiden MIC (1977) dan akhirnya sebagai presiden parti pada 1981 selepas memangku jawatan itu sejak kematian Manikavasagam pada 1979.

Pada tahun 1974, Samy Vellu buat pertama dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum, dan beliau memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput, yang disandangnya hingga pilihan raya umum 2008 apabila dikalahkan oleh Dr Michael Jeyakumar Devaraj calon Parti Sosialis Malaysia yang bertanding atas tiket DAP dengan majoriti 1,821 undi.

Samy Vellu dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan pada 1978 sebelum dilantik sebagai Menteri Kerja Raya yang dipegangnya paling lama iaitu dari 1979 sehingga 1989, dan kemudian kembali ke kementerian itu pada 1995 hingga 2008.

Beliau menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang menyaksikan kejayaan beliau mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos.

Beliau juga merupakan antara nama penting yang menyumbang kepada idea mengenai pentingnya Malaysia memiliki satelit sendiri, yang dilancarkan pada 1995.

Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya dan pengangkutan dalam negara dan atas daya usahanya itu pada 1987, beliau dianugerah 'International Man of the Year Award oleh The International Road Federation (IPF).

Beliau juga banyak memain peranan dalam pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan serta pembinaan jambatan Pulau Pinang.

Beliau juga menerima pelbagai anugerah negara luar termasuk Pingat Gwang Hwa dari Korea Selatan, Grand Officer of the Order of the Merit dari Itali dan anugerah Bharatiya Samman yang berprestij daripada Perdana Menteri India Atal Bihari Vajpaye berdasarkan sumbangan disapora pada 2003.

Dari segi pembangunan kaum India di Malaysia, Samy Vellu banyak membantu dalam bidang pendidikan dan ekonomi serta sosial dan keagamaan.

Di bidang pendidikan, beliau merupakan penggerak kepada penubuhan Maju Institute of Educational Development (MIED) yang memberi geran dan pinjaman kepada 14,600 pelajar sehingga kini, kepada pelajar India yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan teknologi maklumat.

Selain itu beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe di Seremban, Asian Institute of Medicine, Science and Technology (Aimst) dan Koperasi Didik.

Di bidang pembangunan ekonomi kaum India pula, beliau antara yang terlibat dalam penubuhan Maika Holdings serta Workers Housing Cooperative Society, manakala dari segi sosial, beliau turut terlibat dalam penubuhan Yayasan Strategik Sosial (YSS) dan Yayasan Pemulihan Sosial. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan