Enam Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Negeri

Diterbitkan: Selasa, 7 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Datuk Shaikh Ismail Muhamad dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Terengganu tahun ini.

Ketokohan beliau yang banyak memberi sumbangan dan khidmat kepada pembangunan dakwah Islam di negara ini adalah antara sebab beliau dipilih menerima anugerah itu.

Dengan anugerah itu, Shaikh Ismail menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala serta sijil penghargaan.

Manakala Muhamad Abu Bakar, 70, menerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali negeri Terengganu.

Majlis itu telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Khazan Che Mat dan semua hadiah telah disampaikan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam.

Di KUANTAN, bekas Ketua Hakim Syarie Pahang, 65, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Pahang dan beliau menerima wang tunai RM2,500 dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Sultan Ahmad Shah pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail serta 2,000 orang.

Di JASIN, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Melaka 1432H, Datuk Nawawi Ahmad, 71, berkata perjuangan beliau dalam bidang dakwah masih belum selesai kerana anugerah itu memberikan satu tanggungjawab yang lebih besar baginya untuk menyebarkan syiar Islam.

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Melekek, Alor Gajah, itu kini menjadi penceramah bebas dan menghasilkan buku antaranya "Ilmu Jiwa Dalam Al-Quran" dan pelbagai artikel majalah.

Sambutan Maal Hijrah negeri Melaka berlangsung di Masjid Al-Ghaffar malam tadi. Majlis itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob yang turut menyampaikan anugerah berkenaan dan dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Di KOTA BARU, cara pergaulan masyarakat Melayu di kampung yang saling bermaafan dengan cara bersalaman semasa menyambut hari raya, mencetuskan ilham seorang saudara baru untuk memeluk agama Islam, kira-kira 29 tahun lalu.

Ridhuan Foo Abdullah, 53, berkata itulah antara hidayah yang ditunjukkan oleh Allah SWT sehingga berjaya dipilih sebagai Tokoh Hijratul Rasul bagi kategori Saudara Kita sempena sambutan Hijratul Rasul peringkat Negeri Kelantan.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000, dinar emas dan sijil penyertaan daripada Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Ke-V, di Balai Islam, Lundang, malam tadi. Turut menerima tokoh Hijratul Rasul ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Ridhuan, beliau dilahirkan di Pekan Jelawat, Bachok dalam lingkungan masyarakat Melayu dan jiran-jirannya terdiri daripada orang Melayu.

Beliau melihat bagaimana mereka bersalaman dengan berpelukan mesra antara satu sama lain yang jarang dapat dilihat di kalangan masyarakat asalnya sendiri.

Katanya, bermula dari situlah mencetuskan minat beliau terhadap agama Islam hingga berkahwin dengan sorang gadis Melayu, Che Rohani Abdul Rahman, 50, dan hasil perkongsian hidup mereka mendapat enam anak, tiga daripada sedang menunutut di Mesir di bidang tahfiz al-Quran.

Menurutnya, dua dari anaknya membantu menguruskan syarikat perniagaan barangan elektronik dan menjadi wakil pengedar barangan elektronik berjenama.

Di SHAH ALAM, tokoh agama dan politik terkemuka negara, Datuk Dr Haron Din dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 Selangor sempena sambutan Tahun Baru Islam itu di peringkat negeri.

Haron, pengasas Pusat Perubatan Darul Syifa' menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah dalam majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Ma'al Hijrah 1432 peringkat Selangor malam tadi.

Haron dihadiahkan wang tunai RM10,000, pakej mengerjakan umrah, sehelai persalinan dan sijil penghargaan.

Turut menerima anugerah sempena sambutan itu ialah Ketua Pegawai Dakwah Islamic and Service Foundation (IIS) Shah Kirit Kakulal Govindji bagi kategori Anugerah Tokoh Saudara Kita.

Sukarelawan sepenuh masa yang turut menyertai Konvoi Life Line For Gaza Noorazman Mohd Samsuddin pula diberikan Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat.

Bagi Anugerah Tokoh Keluarga Mithali pula diberikan kepada Panut Markom dan Jaliah Simin dengan menerima hadiah wang tunai RM5,000, pakej mengerjakan umrah, sehelai persalinan dan sijil penghargaan.

Manakala bagi Anugerah Pertubuhan dan Badan Dakwah Sukarela Selangor diberikan kepada Persekutuan Seruan Islam (Jami'yah) Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menerima wang tunai RM5,000 dan baucar buku bernilai RM500. Sementara itu, pensyarah Jabatan Senibina Lanskap, Kulliyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Dr. Ismawi bin Zen dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah, Bintulu.

Menurut kenyataan Pejabat Perhubungan Awam UIAM, anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Abang Barieng sempena sambutan Maal Hijrah 1432.

Dr.Ismawi yang berasal dari Kampung Gedong, Samarahan, Sarawak memulakan kerjayanya sebagai penolong pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia pada 1978.

Pada 1996 beliau menjadi Pensyarah dan Dekan Kulliyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, UIAM. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Rektor UIAM dari 1999 hingga 2005.

Sumbangan penting Dr. Ismawi kepada pembangunan ummah ialah bila beliau dilantik oleh Kerajaan Arab Saudi mengetuai barisan panel arkitek untuk pembangunan semula bandar Mekah termasuk Masjidil Haram, supaya menjadi lebih luas, mesra alam, dan selamat.

Panel berkenaan terdiri daripada 16 syarikat arkitek antarabangsa dari 13 negara termasuk Arab Saudi, Malaysia, Mesir, Jordan, Jepun, Jerman, Perancis, Switzerland, England, India, dan Afrika Selatan. Dr. Ismawi ketika ditemui hari ini menganggap anugerah itu bukan semata-mata untuk dirinya tetapi juga kepada UIAM yang memberi ruang kepadanya untuk berkhidmat kepada negeri, negara, dan seluruh umat di dunia. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan