K'jaan Buka Kaunter Khas Untuk Daftar Golongan Tidak Berumah Di Ibu Kota Cari Kerja

Diterbitkan: Isnin, 6 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Usaha sedang dilakukan untuk mendaftar golongan gelandangan atau tidak berumah di sekitar ibu negara sebagai pencari kerja sebelum ditawarkan pekerjaan kepada mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Katanya, Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuka kaunter pendaftaran setiap Selasa di Masjid India dari jam 9 hingga 12 tengah malam dan pada setiap hari Khamis di kawasan Puduraya bermula jam 9 malam hingga 1 pagi.

Kerajaan juga menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Intervensi bagi menangani masalah golongan tersebut, katanya menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pusat tersebut terletak di Jalan Hang Lekiu dan dijangka siap selewat-lewatnya hujung bulan ini yang mampu menempatkan 76 orang gelandangan pada setiap masa.

Lilah bertanya mengapa terdapat ramai orang tidak berumah di sekitar Kuala Lumpur yang dibenarkan tidur di kali lima, tepi jalan, perhentian bas dan lain-lain serta apakah perancangan kementerian bagi mengatasi masalah tersebut.

Shahrizat juga berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalankan proses 'profiling' bagi mengetahui jumlah sebenar golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur termasuk latar belakang dan faktor yang menyebabkan mereka hidup bergelandangan.

"Ia telah dijalankan secara berperingkat oleh JKM dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) bermula 6 Mac hingga 12 Mei lepas.

"Profiling ini dapat membantu JKM dan agensi-agensi kerajaan yang lain merangka tindakan intervensi dan memberi bantuan yang sesuai kepada golongan tersebut," katanya.

Beliau berkata, profiling merupakan salah satu usaha yang dijalankan oleh Jawatankuasa Khas kementerian itu selepas ditubuhkan pada Mac lepas dan diterajui oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Menjawab soalan Lilah tentang golongan gelandangan warga asing di Kuala Lumpur, Shahrizat berkata menurut proses profiling yang dijalankan mereka termasuk di bawah kategori mangsa sindiket terutamanya mengemis.

"JKM dan pihak polis sentiasa mengadakan operasi untuk tangani masalah ini. Tapi sindiket ini begitu bijak. Lepas operasi mereka akan pindah tempat lain kemudian kembali ke tempat lama. Tetapi kita tidak pernah berputus asa," tegasnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan