Raja Muda Perlis Mahu Pemikir Islam Tidak jumud

Diterbitkan: Ahad, 5 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Para pemikir Islam tidak boleh bersikap jumud dalam meningkatkan syiar Islam sebaliknya mereka perlu mencari pembaharuan termasuk dalam menangani isu-isu global, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah sikap jumud akan merugikan umat Islam sedangkan mereka perlu kehadapan dalam isu-isu pemikiran, kebajikan dan kepentingan awam bukan sahaja dalam soal akidah tetapi juga dalam isu sejagat.

Bertitah merasmikan Konvensyen Pemikir-Pemikir Islam Sejagat 2010 anjuran MAIPs dengan kerjasama Yayasan Pok dan Kassim (YPK) di sini hari ini, baginda berharap para pemikir Islam sentiasa berusaha membebaskan umat daripada kejumudan, kesempitan pemikiran, kemuduran material dan spritual.

"Dalam zaman yang pantas dan terbuka, umat Islam perlu kepada pendekatan yang serasi dengan keadaan semasa," titah baginda.

Menurut baginda, isu-isu sejagat seperti kebajikan, alam sekitar, pembangunan pendidikan, remaja, sukan dan banyak lagi perlu ditangani oleh para pemikir Islam yang menjadi pendokong sunnah secara bijak.

Baginda turut berharap para pemikir Islam akan membuktikan kepada masyarakat dan rakyat tentang peranan agama Islam dalam pembangunan negara kerana Islam tidak sepatutnya tinggal sebagai slogan dan retorik yang hanya menghiasi majlis, seminar, ceramah dan konvensyen namun gagal diterjemah dalam realiti kehidupan masyarakat.

Raja Muda bertitah dalam era globalisasi, masyarakat terdedah dengan pelbagai cabaran pemikiran, ekonomi, kemanusiaan dan pelbagai lagi namun persoalannya mampukah kehebatan Islam itu dipamerkan dalam era ini.

"Malulah dunia Islam jika isu-isu sejagat dijuarai orang lain sedang segala masalah sejagat dituding kepada dunia Islam," titah baginda.

Baginda berharap para aktivis sunnah memberi nafas baru kepada umat Islam supaya imej Islam akan dapat diangkat semula.

Lebih 400 peserta termasuk dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Kemboja menyertai konvensyen sehari itu yang bertemakan "Membina Kekuatan Ummah". - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan