Wanita Gerakan Syor Wang Caruman Untuk Isteri

Diterbitkan: Sabtu, 4 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wanita Gerakan menyarankan supaya kerajaan mewajibkan suami mencarum kepada kumpulan wang simpanan isteri sebagai mengatasi masalah kewangan bila berlaku penceraian.

Ketua Wanitanya Datuk Tan Lian Ho berkata tabungan itu perlu diwujudkan memandangkan jumlah penceraian di negara ini semakin membimbangkan dan sebilangan bekas suami enggan menunaikan tanggungjawab menanggung nafkah anak-anak mereka.

"Wanita (Gerakan) juga mencadangkan supaya suami yang enggan membayar nafkah anak-anak selepas bercerai dikenakan hukuman penjara atas ketidak kebertanggungjawapan," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan tahunan Wanita Gerakan di sini, Sabtu.

Tan berkata bekas suami diwajibkan membuat caruman kepada tabung itu sehingga anak-anak mereka sudah bekerja.

Selain itu, beliau juga turut mencadangkan supaya tindakan tegas, termasuk buang kerja diambil ke atas mana-mana pihak yang menggunakan isu perkauman dan pilih kasih dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

"Selagi isu ini tidak ditangani dengan baik dan secara bijak, selagi itulah rakyat tidak akan berpuas hati dengan pihak kerajaan. Rakyat hari ini hanya ingin melihat keadilan dan ketelusan dalam tadbir urus negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Lim Si Pin dalam ucapan dasar pada persidangan tahunan sayap itu, mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Tabung Unit Amanah Bumiputera bagi memastikan 30 peratus ekuiti perniagaan bagi kaum itu dilindungi.

Katanya tabung itu boleh bertindak dengan membeli balik saham yang dijual oleh mana-mana syarikat tersenarai atau individu yang ingin menjual balik saham masing-masing.

"Dengan cara ini, peratusan ekuiti kekal sama," jelasnya.

Beliau juga menggesa pemaju hartanah memansuhkan diskaun lima peratus kepada pembeli Bumiputera yang membeli rumah bernilai lebih RM500,000.

Sebaliknya, Lim berkata keistimewaan itu harus digunakan sebagai subsidi bagi golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah kos rendah.

Beliau juga meminta ahli sayap itu supaya kembali menghayati perjuangan dan idealogi bekas presiden mendiang Tun Dr Lim Chong Eu dalam membantu membela nasib rakyat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan