KPI Untuk GLC Tidak Seharusnya Jadi Penghalang Pengambilan Risiko

Diterbitkan: Jumaat, 3 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mengambil risiko atau usaha merintis strategi pertumbuhan inovatif baru. Oleh itu, GLC seharusnya tidak hanya tertumpu pada keuntungan jangka pendek, demikian menurut Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) dalam laporan Model Baru Ekonomi Untuk Malaysia Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

"Tempoh KPI untuk GLC perlu dipanjangkan supaya GLC juga akan tertumpu kepada pembangunan pasaran melalui produk dan proses baru," katanya.

Menurut MPEN, GLC yang terlibat dalam industri hiliran perladangan hendaklah melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) berskala besar untuk menyokong pengeluaran produk baru dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa.

Terdapat sejumlah GLC yang mempunyai pusat-pusat R&D mereka sendiri yang secara umumnya telah terpinggir, terutamanya pusat-pusat yang beroperasi dalam persekitaran pasaran terlindung.

Menurut MPEN, konsolidasi dan pergabungan perusahaan nasional serta Perusahaan Kecil dan Sederhana akan memberi mereka skala untuk menyertai dan bersaing di pasaran global serta mampu membina juara dan jenama nasional sebagaimana yang dilakukan di sektor kewangan dengan hasil yang amat memberangsangkan.

Dalam hal ini, GLC perlu memulakan usaha berintensifkan pengetahuan khusus termasuk ke pasaran baru. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan