JPJ Tidak Bercadang Beri Diskaun Saman Pesalah Trafik

Diterbitkan: Jumaat, 3 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak bercadang mengikut langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi diskaun saman terhadap pesalah trafik buat masa ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata untuk tempoh sekarang saman yang dikeluarkan JPJ kepada pesalah trafiknya adalah kekal pada kadar sedia ada.

"Buat sementara ini, JPJ akan kekalkan sistem (saman) yang ada (terhadap pesalah lalu lintas)," kata beliau kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya, di sini, Jumaat.

Beliau diminta mengulas sama ada JPJ akan memberi diskaun saman terhadap pesalah lalu lintas, seperti yang dilakukan PDRM bagi menangani masalah saman tertunggak pada kalangan pengguna jalan raya di negara ini sejak sekian lama.

Kong berkata, JPJ juga tidak bercadang melanjutkan tempoh menarik balik sementara tindakan terhadap pesalah trafik yang disenarai hitam, yang ditetapkan sehingga 28 Februari depan.

"Pada masa ini kita belum membuat sebarang keputusan untuk melanjutkan tempoh ini," katanya.

Pada Ogos lepas, kerajaan mengumumkan penarikan balik sementara tindakan ke atas pesalah trafik yang disenarai hitam kerana tidak menjelaskan saman, dan membenarkan mereka memperbaharui cukai jalan serta lesen memandu.

Dalam perkembangan lain, Kong berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan sejawatannya dari Singapura pada Januari depan, berhubung pembinaan terowong bawah laut bagi laluan sistem transit pantas (RTS) menyeberangi Selat Johor menghubungkan Tanjung Puteri dengan Woodlands.

Malaysia dan Singapura pada Mei tahun lepas bersetuju untuk membangunkan perkhidmatan RTS sepanjang 1.5 kilometer secara bersama dan ia dijangka beroperasi menjelang 2018.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Kong berkata inisiatif di bawah Pengangkutan Awam Bandar yang merupakan sebahagian daripada tonggak Program Transformasi Kerajaan (GTP), telah mula menunjukkan hasil dan pencapaian yang memberangsangkan tahun ini.

Beliau berkata antaranya, peralihan pengguna kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam di Lembah Klang berjaya melangkaui sasaran tahun ini iaitu meningkat kepada 17 peratus, dan jumlah "ridership" pada waktu puncak di sebelah pagi meningkat sehingga 360,000 orang.

"Kajian terhadap penggunaan pengangkutan awam sepanjang sembilan bulan tahun ini menunjukkan peningkatan mendadak penggunaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dengan pertambahan sebanyak 2.6 juta pengguna.

"Ini menunjukkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam berjaya dipertingkatkan dan mendapat sambutan kerana ianya lebih efisien dan selesa berbanding sebelum ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan