Kerajaan Timbang Kemungkinan Naikkan Caruman Perkeso - Subramaniam

Diterbitkan: Khamis, 2 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) agar kadar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dinaikkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata cadangan itu dibuat ILO berasaskan kajiannya tahun lalu, selepas mendapati nilai pampasan yang dibayar Perkeso meningkat setiap tahun.

"Tahun lepas Perkeso terpaksa peruntukkan sehingga RM1.4 bilion sebagai pampasan kepada pekerja yang terlibat kemalangan berbanding kutipan sekitar RM1.8 bilion setahun.

"Ia berada dalam trend yang meningkat sepanjang lima tahun kebelakangan ini yang mana pada tahun 2005 pampasan hanya berjumlah RM830 juta," katanya semasa merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Kecil dan Sederhana, di sini, Khamis.

Tanpa mendedahkan kadar baru yang dicadangkan ILO, Dr Subramaniam berkata bagaimanapun buat masa ini kerajaan tidak berhasrat menaikkan kadar caruman itu walaupun ia tidak pernah dikaji sejak 1969.

Sebaliknya, beliau berkata keputusan hanya akan dibuat selepas semua pendekatan diambil kira termasuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang mengenai keselamatan pekerja terutamanya ke atas majikan.

Tahun lalu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) telah mendakwa 160 majikan yang didapati gagal menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat.

Mengenai kemalangan jalan raya membabitkan pekerja pula, beliau berkata statistik menunjukkan sebanyak 55,186 kemalangan berlaku sepanjang tahun lepas.

Daripada jumlah itu katanya, sebilangan besar membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal sewaktu pergi dan balik kerja. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan