Bekas Pegawai Khas MB Selangor Diperintah Bela Diri Atas Tuduhan Menipu

Diterbitkan: Rabu, 1 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini memerintahkan bekas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri membela diri atas tuduhan menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) berhubung Majlis Sambutan 100 hari pakatan pembangkang dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mohd Yahya, 44, dituduh menipu Presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar untuk mempercayai bahawa sekretariat pakatan pembangkang memohon sumbangan bagi membiayai majlis sambutan itu di Gardenia Coffee House, Quality Hotel di sini pada 4 Jun 2008.

Tertuduh selaku pengarah program acara itu, dituduh dengan curangnya mendorong Abdul Karim untuk menyerahkan wang berjumlah RM50,000 kepada beliau sebagai sumbangan, sedangkan Abdul Karim tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda.

Bagaimanapun, Azhaniz Teh melepas dan membebaskan Mohd Yahya daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat di Maybank Berhad cawangan Bandar Sunway pada 14 Mei 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie ke atas tertuduh.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Azhaniz Teh membuat keputusan itu setelah mendengar keterangan yang diberikan oleh 28 saksi pendakwaan, termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hakim menetapkan 16 dan 17 Februari depan untuk pembelaan yang dijangkakan akan mengemukakan lapan saksi.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Roziza Sidek manakala tertuduh diwakili Ahmad Nizam Hamid dan T. Suresh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan