Tafsiran Al-Quran Salah: Hadi Enggan Ulas - Berita Semasa | mStar

Tafsiran Al-Quran Salah: Hadi Enggan Ulas

Diterbitkan: Selasa, 30 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tafsiran ayat suci al-Quran boleh dibuat oleh sesiapa pun namun ia perlu dilihat pada tempat dan maksudnya.

Bagaimanapun, Hadi enggan mengulas mengenai kesilapan terjemahan yang dibuat oleh perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Kesavan ketika berucap pada sesi perbahasan Kongres Nasional parti itu, Ahad lalu.

“Saya tak tahu di mana tempat perwakilan itu kerana saya tidak dengar ucapan. Jadi saya tak boleh komen lah. Saya tak baca komen di media pun.

“Ayat al-Quran sesuai dibaca dalam semua perkara tapi ia perlu dilihat pada tempatnya. Saya tak tahu di mana tempat ia dibaca jadi saya tak boleh komen,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat arena Rodeo Malaysia di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010 ) di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan seorang perwakilan PKR bukan Islam tersilap membaca tafsiran al-Quran ketika memetik makna Surah Ali Imran ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden.

Mengulas lanjut, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, di dalam al-Quran terdapat banyak tafsiran mengenai pelbagai perkara termasuk langit, bumi, serta pertukaran siang dan malam.

“Ayat al-Quran ini menyentuh tentang pelbagai perkara. Ada tentang langit, bumi, binatang, manusia, baik buruk semua ada diterangkan. Kita kena melihat di mana tempat dia menggunakan ayat itu,” katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan