Kongres Nasional PKR: Pemimpin Sarawak Tidak Dipinggirkan

Diterbitkan: Isnin, 29 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan meminggirkan peranan pemimpin dari Sarawak dalam senarai kepimpinan tertinggi parti itu.

Sambil mengakui wujudnya kekurangan dalam senarai kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang baru apabila tiada wakil Sarawak dipilih, Anwar berkata beliau akan memastikan wakil dari negeri itu diberi jawatan melalui lantikan.

"Nampak ada sedikit kekurangan, tapi jangan bimbang, kita akan bincang dan percayalah parti ini adalah parti nasional.

"Kita akan pastikan wakil Sarawak cukup kuat dalam pimpinan, saya akan bincang dengan kawan-kawan dalam Biro Politik," katanya semasa majlis penutup Kongres Nasional PKR Ketujuh di sini, Ahad.

Menerusi senarai 20 ahli MPP yang berjaya pada pemilihan parti itu yang diumumkan hari ini, tiada wakil Sarawak berjaya merebut jawatan berkenaan.

Majoritnya dikuasai pemimpin dari Semenanjung kecuali hanya dua wakil dari Sabah iaitu Roland Chia Ming Shen dan Christina Liew.

Selain itu Anwar berkata barisan kepimpinan baru parti yang majoritnya adalah muka baru perlu bekerja keras bagi memastikan parti ini terus bersedia menghadapi cabaran terutamanya pilihan raya Sarawak dan pilihan raya umum akan datang.

"Saya tengok ada ramai golongan muda, ada ramai juga wanita... saya nak tengok apa idea orang muda ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan