Ahli PKR Menanti 'Bunga' Pertama Azmin

Diterbitkan: Isnin, 29 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERAKHIRNYA Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, sudah pasti tumpuan peminat liga politik tanah air akan terarah kepada peranan yang bakal dimainkan oleh Timbalan Presiden yang baru, Azmin Ali.

Kemenangan tanpa kejutan Ahli Parlimen Gombak itu dilihat oleh banyak pihak sebagai nafas baru kepada PKR terutamanya selepas selesai proses pemilihan parti baru-baru ini.

Rata-rata kini semua pihak khususnya ahli PKR sendiri tertunggu-tunggu sepak mula yang bakal dilakukan Azmin khususnya melibatkan kumpulan yang pernah digelarnya sebagai 'pengkhianat' parti.

Persoalan apakah pendekatan yang bakal digunakannya bagi membersihkan dedalu politik yang tumbuh dalam PKR kerana kehadiran mereka semakin ketara dan segar terutama sejak tiga bulan lalu semasa proses pemilihan parti berlangsung.

Menafikan akan menyingkir kumpulan berkenaan daripada parti, orang nombor dua PKR itu berkata pendekatan yang bakal diambilnya hanyalah untuk mendisiplinkan golongan berkenaan.

"Ia bukan proses untuk witch hunting. Apa yang dibincangkan dalam kongres ini, yang berlegar di kalangan ahli parti adalah (bagi) memastikan kepimpinan baru ini mempunyai semangat untuk mendisplinkan pemimpin dan ahli," katanya pada Ahad.

Kerisauan berhubung proses 'pembersihan' dalam parti jelas sekali mendapat perhatian serius perwakilan Kongres PKR kali ini yang tidak mahu dijadikan alasan sebagai pemudah cara oleh pemimpin tertentu kepada usaha untuk menyingkirkan golongan yang dianggap seteru.

Menurut mereka sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip demokrasi, tindakan membantah, membangkang mahupun melawan tidak boleh 100 peratus dianggap sebagai pengkhianat parti.

Ada benarnya kerisauan yang dizahirkan perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Abdul Hamid semasa perbahasannya yang memberi amaran tegas kepada pemimpin yang berlagak 'dewa' hingga enggan menerima krtitikan.

Malah menurutnya, agenda 'pembersihan' yang dilaung-laungkan sesetengah pemimpin parti perlu diberi perhatian serius kerana jika tersalah langkah, PKR akan 'longgar' dengan sendiri.

Justeru, Azmin yang menewaskan pencabar tunggalnya, Mustafa Kamil Ayub dengan mendapat 19,543 undi perlu berhati-hati dalam langkahnya khususnya melibatkan agenda 'pembersihan' parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tugas besar yang perlu digalas orang kanan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini juga ialah bagi merawat kecederaan yang berlaku sepanjang proses pemilihan parti.

Tuntutan dan gesaan ahli akar umbi agar kepimpinan tertinggi parti menyiasat setiap aduan dan laporan berhubung pelbagai dakwaan kepincangan proses pemilihan perlu ditangani dengan segera.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana jika tiada sebarang tindakan susulan, dikuatiri akan mengundang padah yang lebih parah.

Bagi ahli khususnya pengadu, sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip keadilan untuk semua, sesuatu tindakan atau keputusan itu bukan sahaja perlu adil malah perlu dilihat adil.

Implikasinya bukan kecil kerana jika tersilap langkah, tidak mustahil pemilihan 2010 gagal mencerminkan saf penyatuan yang diharap-harapkan Presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tidak mustahil juga bantahan keras melalui tindakan keluar parti beramai-ramai bakal dilihat jika kemahuan dan permintaan ahli melalui siasatan yang telus gagal diambil kerana kemarahan ahli berhubung kepincangan yang berlaku pada pemilihan lalu kini sudah berada di kemuncaknya.

Siasatan beberapa kes 'berprofil tinggi' yang melibatkan nama-nama besar termasuk calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa serta calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Badrul Hisham Shaharin yang membuat tuduhan terbuka mengenai kepincangan proses pemilihan pastinya dinantikan banyak pihak.

Tamparan lebih hebat apabila Zaid mengumumkan pengundurannya daripada liga dan seterusnya meninggalkan parti yang disertainya sejak 18 bulan lalu di saat hampir berada di garisan penamat sebelum kongres berlangsung.

Keresahan ahli begitu ketara apabila rata-rata perwakilan menggesa siasatan menyeluruh bagi semua aduan hingga ada yang menyuarakan agar kes-kes berkenaan dikendalikan oleh badan bebas yang tidak berkepentingan bagi mengelakkan wujudnya kesangsian.

Rasionalnya, sebagai parti yang sentiasa menjadi juara terhadap siasatan badan bebas apabila wujudnya salah laku terutamanya dalam kerajaan, perlu menimbangkan saranan tersebut.

Sebetulnya sikap defensif yang kononya tidak adil menyalahkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung pengendalian kali pertama pemilihan langsung perlu dikikis.

Bagi ahli, jika kepimpinan parti bersedia membuktikan bahawa merekalah parti pertama yang berani menggunakan sistem 'Satu Ahli Satu Undi', setiap aspek perlu diberi perincian sejak awal.

Mungkin sebahagian besar 'kaki bodek' yang dengan lantang mempertahankan JPP yang disifatkan berjaya melakukan tugas mereka dengan baik, namun usah dipinggirkan sayup-sayup suara yang membantah.

Sungguhpun kecil bilangannya, namun bantahan yang mereka suarakan adalah berasas.

Di sinilah kebijaksanaan trio yang sebelum ini digelar 'bateri 3A' iaitu Anwar, Azizah dan Azmin bakal teruji.

Harus diingat, di sebalik kata-kata pujangga dan madah pujian melambung perwakilan terhadap Anwar bukanlah tiket untuknya bersenang-lenang.

Ahli PKR khususnya dan rakyat secara amnya tidak mudah terpedaya dengan pujian Wan Azizah terhadap suaminya yang disifatkan sebagai ‘anugerah Tuhan’ yang dilihat sekadar mahu mengalih perhatin terhadap isu pokok yang berlaku dalam parti itu.

Mereka harus sedar bahawa kemenangan besar pada pilihan raya umum yang lalu bukan hanya disumbangkan oleh ahli parti itu semata-mata, malah turut menerima sokongan penyokong PKR yang berada di luar parti.

Jadi sekiranya 'cacat cela' ini tidak dibendung, mampukah sokongan berkenaan akan diraih sekali lagi pada pilihan raya akan datang?

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan