Kongres Nasional PKR: Ketatkan Syarat Calon Ketua Cabang - Wakil WP

Diterbitkan: Ahad, 28 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Wakil Wilayah Persekutuan mengesyorkaan supaya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenakan syarat yang lebih ketat kepada ahlinya yang ingin bertanding jawatan Ketua Cabang pada pemilihan.

Azman Abidin berkata, syarat ketat perlu digubal bagi memastikan calon yang ingin menawarkan diri bertanding benar-benar layak dan berkemampuan terutamanya dari segi kewangan.

Menurut beliau, sistem pemilihan langsung seperti yang dijalankan pada pemilihan parti itu baru-baru ini tanpa syarat yang ketat menyebabkan kebanjiran penyertaan calon 'RM20' yang diragui keupayaan kewangannya.

"Saya cadangkan supaya calon-calon yang nak bertanding jawatan Ketua Cabang, syarat-syarat ketat perlu dikenakan.

"Nak bertanding jawatan Ketua Cabang depositnya RM20 sahaja, mereka tak tahu jadi Ketua Cabang kena jaga kawasan Parlimen... silap-silap jadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya ketika membahaskan usul pemberdayakan demokrasi pada Kongres Nasional PKR ke-7 di sini, Ahad.

Pada masa ini syarat bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR hanya memerlukan seorang pencadang dari cbang yang sama dengan bayaran deposit RM20.

Bagaimanapun menurut Azman, cadangan memperketatkan syarat penyertaan bagi jawatan berkenaan bukan bermaksud untuk menyekat hak ahli menawarkan diri bertanding.

Menurut beliau, demokrasi yang diketengahkan dalam PKR perlu realistik dengan mengambil kira kos yang tinggi.

"Bukan kita nak nafikan hak ahli untuk bertanding, tapi proses demokrasi perlulah mengambil kira kos yang tinggi.

"Kita kena tahu mengapa SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kenakan RM15,000 (deposit) bagi Parlimen, ini kerana mereka tahu mengenai kosnya yang tinggi.

"Jadi apa salahnya kalau kita kenakan (deposit) yang lebih sikit, RM1,000 atau RM2,000... sekurang-kurangnya ibu pejabat parti dapat gunakannya untuk parti," katanya sambil menerima tepukan gemuruh para perwakilan yang hadir.

Tegas beliau lagi, penyertaan calon yang begitu ramai juga menyukarkan ahli untuk membuat pilihan.

"Kalau mudah sangat syarat, ramai yang boleh bertanding dan ahli nak buat pilihan pun susah.

"Kalau setakat RM500 atau RM1,000 pun tak boleh keluar, macam mana nak jadi Ketua Cabang... jadi saya minta proses ini diperketatkan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan