12 Cawangan UiTM Mungkin Diberi Kuasa Tadbir Sendiri:Naib Canselor

Diterbitkan: Sabtu, 27 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERI ISKANDAR: Kesemua 12 cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara mungkin diberi kuasa pentadbiran bagi menguruskan kampus masing-masing sebelum akhir tahun depan, kata Naib Canselornya Profesor Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau berkata pemberian kuasa autonomi itu merupakan aspek penting dalam pentadbiran universiti tersebut kerana ia mampu mengembangkan daya kreatif dan pencapaian UiTM ke peringkat seterusnya.

"Kertas cadangan mengenai perkara itu kini berada di peringkat akhir, dan ia akan diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk tindakan seterusnya. Kita akan serahkan kepada kementerian pada Januari ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen UiTM ke-73 yang diadakan buat kali pertama di kampus UiTM Seri Iskandar, Sabtu.

Bagaimanapun, Sahol Hamid berkata semua cawangan terbabit akan kekal berada di bawah Lembaga Pengarah dan Senat yang berpusat di kampus induk Shah Alam, Selangor.

Katanya, pemberian kuasa kepada cawangan itu juga tidak akan menjejaskan kualiti dan standard universiti berkenaan yang mempunyai 180,000 pelajar.

Ketika ini, segala urusan pentadbiran termasuk pengurusan, kewangan, hal ehwal pelajar, sistem peperiksaan dan kemasukan penuntut UiTM terpaksa melalui kampus induk.

Mengenai konvokesyen yang sedang berlangsung, Sahol Hamid berkata terdapat empat kampus iaitu Perak, Perlis, Terengganu dan Sarawak yang mencatat sejarah tersendiri apabila mengadakan majlis itu mulai tahun ini, dan ia juga merupakan persediaan awal ke arah pemberian kuasa tersebut.

Beliau berkata UiTM berpendapat semua kampus cawangannya telah bersedia serta mampu melaksanakan majlis konvokesyen sendiri seperti kampus induk, dan ia akan diadakan dalam bulan Mei tahun depan.

Sementara itu, mengenai program 'Mengubah Destini Anak Bangsa" yang memberi peluang kepada belia bumiputera menyambung pengajian, Sahol Hamid berkatab sejumlah 80 peratus daripada 5,000 pelajar telah lulus dalam pengajian masing-masing.

Pada majlis konvokesyen Sabtu, seramai 1,390 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan