Kongres Wanita PKR: Segera Lantik Anwar Sebagai Ketua Umum

Diterbitkan: Jumaat, 26 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum - jawatan baru dalam parti - bagi mengukuhkan lagi kedudukan Penasihat PKR itu.

Sehubungan itu, menurut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, pindaan serta-merta dalam Perlembagaan parti itu perlu dilakukan bagi merealisasikan kewujudan jawatan berkenaan.

Katanya, Anwar merupakan pemimpin paling sesuai untuk memegang jawatan berkenaan kerana beliau terlibat sejak dari awal sejarah penubuhan PKR.

“Anwar adalah susuk penting dalam sejarah penubuhan Keadilan. Peranan dan pengaruh utamanya tidak boleh kita nafikan.

“Kewujudan jawatan Ketua Umum yang dicadang bukanlah satu ancaman kepada autoriti dan pengaruh kepada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sedia ada sebaliknya, hanya berperanan sebagai mentor kepada pembangunan parti semata-mata,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita bertemakan ‘Subur Demokrasi Tujah Inovasi’ pada Kongres Wanita Tahunan PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat.

Zuraida berkata, jawatan Ketua Umum yang akan diwujudkan itu tidak boleh dipertandingkan dan hanya Anwar sahaja yang berhak ke atas jawatan tersebut di atas peranan serta pengaruhnya dalam pembangunan parti itu.

Jelasnya, Anwar tidak harus disia-siakan sebaliknya ia perlu dimanfaatkan demi kelangsungan parti dan sentiasa digeruni parti lawan.

“Relevannya diwujudkan jawatan Ketua Umum untuk Anwar adalah demi menjaga dan memulihara pengaruh peranan dan statusnya dalam PKR agar kelangsungannya dalam lapangan politik semasa terus gah dan sentiasa digeruni,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan memberi tafsiran yang lebih luas dalam Perkara 8(2) bagi memelihara hak wanita serta mengelakkan penindasan terhadap golongan terbabit.

“Oleh itu, Wanita Keadilan menuntut kerajaan mewujud dan menguatkuasakan undang-undang kesaksamaan gender secara bersepadu dengan melibatkan setiap peringkat.

“Ia bagi mencerminkan kesaksamaan substantif antara lelaki dan wanita di arena umum dan persendirian. Kami turut menggesa kerajaan mengambil serius dalam memastikan pelaksanaan Gender Responsive Budget (GRB) dimulakan secepat mungkin,” katanya.

Bagi memastikan perkara tersebut Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mahu Dasar Keluarga Negara (DKN) yang telah dirancang segera dilaksanakan.

“Bukan itu sahaja, penubuhan sayap Srikandi menjelang 2013 harus diterima secara positif dan dilihat sebagai kelangsungan kepada legasi kepimpinan Wanita sedia ada kini, dan bukan sebagai ancaman kepada sayap Wanita, mahupun Angkatan Muda (AMK).

“Dengan adanya sayap Srikandi, harapan untuk menyaksikan lebih ramai pimpinan wanita muda seperti Siti Aishah dan pimpinan Srikandi dapat diketengahkan sebagai pewaris perjuangan masa hadapan,” katanya.

Katanya, kewujudan sayap Srikandi adalah sebagai tapak bagi menarik generasi muda untuk turut berkecimpung dalam arena politik.

“Orang muda harus melihat medan politk sebagai sebuah wadah kebajikan dan jalan dakwah terbaik.

“Demi mengubah persepsi amalan termurun yang sentiasa menganggap bahawa ‘politik itu kotor’ sedangkan ia adalah sebuah perjuangan dan kerjaya yang murni,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Zuraidah berharap cadangannya dalam soal pelantikan Ketua Umum diterima perwakilan sebelum dibawa ke Kongres Nasional esok.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan