Dr Lim Chong Eu Sukar Ditandingi, Kata Muhyiddin - Berita Semasa | mStar

Dr Lim Chong Eu Sukar Ditandingi, Kata Muhyiddin

Diterbitkan: Jumaat, 26 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu, yang meninggal dunia semalam, meninggalkan satu legasi yang sukar untuk ditandingi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Dr Lim adalah 'bapa' Pulau Pinang Moden dan Mutiara Timur tidak akan menjadi sebuah negeri perindustrian sebagaimana sekarang jika bukan disebabkan pandangan jauh beliau.

"Saya dan isteri mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Tun Dr Lim berikutan kematian beliau. Kami berdoa agar mereka tabah menghadapi saat yang sukar dan mendukacitakan ini. Kehilangan mendiang Tun Dr Lim sudah tentu akan dirasai," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Muhyiddin berkata Barisan Nasional (BN) bertuah kerana mempunyai Dr Lim dalam barisan pemimpin terkemuka gagasan berkenaan.

"Sebagai sebuah parti komponen dalam BN, Gerakan kehilangan bapa pengasasnya. Tidak disangsikan lagi, ketegasan dan keupayaan Tun Dr Lim selaku pemimpin telah menggerakkan parti," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan