Pekerja Asing Wajib Miliki Insurans Kesihatan Mulai 1 Januari

Diterbitkan: Khamis, 25 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semua pekerja asing di negara ini akan diwajibkan mempunyai insurans kesihatan mulai 1 Januari 2011, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata langkah itu berikutan tunggakan bil di hospital kerajaan yang tinggi iaitu setakat ini, berjumlah RM18 juta, dan dijangka meningkat berikutan jumlah pekerja asing yang semakin meningkat.

Katanya langkah itu juga merupakan antara enam projek permulaan (EPP) dalam penjagaan kesihatan yang telah dikenal pasti bagi memacu pencapaian ekonomi negara.

"Ini melibatkan pekerja asing kerana ekspatriat, mereka bayar. Ada yang bayar separuh, ada yang tak bayar langsung. Tapi kebanyakannya tak bayar.

"Kita memandang serius perkara ini dan sebab itu kita melaksanakan langkah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Khamis.

Liow berkata premium insurans tahunan yang dikenakan bagi setiap pekerja asing ialah RM120 dan menjadi tanggungjawab majikan untuk memohon kepada mana-mana syarikat insurans ketika ingin membawa masuk pekerja asing baru.

Katanya bagi yang sedia ada, majikan boleh berbuat demikian ketika memperbaharui permit mereka.

Beliau berkata langkah mewajibkan insurans kesihatan untuk pekerja asing adalah antara tiga EPP yang telah mula dilaksanakan, manakala tiga lagi masih dalam peringkat perancangan.

Katanya dua EPP yang telah dilaksanakan ialah mencergaskan semula pelancongan kesihatan dan mewujudkan ekosistem yang menyokong pembangunan penyelidikan. Beliau berkata peranan sektor kesihatan pada masa ini telah diperluaskan bukan sahaja di sektor sosial iaitu penjagaan dan rawatan perubatan malahan telah menjangkau ke sektor ekonomi iaitu menjana kekayaan melalui kecemerlangan sektor penjagaan kesihatan.

Katanya menjelang tahun 2020, negara dijangka berupaya menjana hasil sebanyak RM35.1 bilion, menerima 1 juta pelancong kesihatan dengan 181,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor ini.

Sehubungan itu, katanya, tiga EPP yang dalam perancangan ialah meneroka dan mengejar peluang eksport generik, mewujudkan nexus perkhidmatan diagnostik dan membangunkan metropolis kesihatan iaitu sebuah kampus penjagaan kesihatan dan biosains bertaraf dunia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan