Masyarakat Acheh Tampil Bantu Mangsa Banjir Di Utara

Diterbitkan: Khamis, 25 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin ingin meringankan bebanan mangsa banjir di Kedah dan Perlis, masyarakat Acheh di sekitar Lembah Klang bersepakat menghulurkan bantuan khususnya sumbangan makanan bernilai RM180,000.

Antara sumbangan itu ialah beras, air mineral, gula, makanan segera, gula dan tikar.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata sumbangan itu menunjukkan sikap prihatin masyarakat Acheh di Malaysia terhadap kesusahan rakyat negara ini.

"Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi sumbangan dan berharap kerjasama seperti ini akan berterusan. Ini menunjukkan mereka tidak pernah melupakan jasa kita," katanya kepada pemberita selepas mewakili kerajaan Malaysia pada majlis penerimaan bantuan itu di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di sini Khamis.

Sumbangan itu diserahkan oleh wakil masyarakat Acheh di Lembah Klang Mansur Usman yang juga ketua penganjur kutipan bantuan tersebut.

Shahlan berkata kesemua sumbangan akan dihantar dengan lapan trak Kementerian Pertahanan dan dijangka tiba di utara negara kira-kira pukul 5 petang ini.

"Sumbangan akan dihantar ke gudang di Jitra (Kedah) sebelum diedarkan oleh sukarelawan yang berada di sana. Sumbangan diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Jika di rumah itu memerlukan tikar, kita akan beri tikar. Kalau di rumah lain bekalan air minuman tidak mencukupi, kita beri air mineral," katanya.

Sementara itu ketika ditemui, Mansur berkata pada mulanya sasaran sumbangan hanyalah kira-kira RM80,000 tetapi telah meningkat kepada RM180,000 apabila lebih ramai masyarakat Acheh tampil memberi sumbangan dalam tempoh hanya dua minggu.

Pada majlis sama, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) turut menyumbang 20,000 buah dapur masak untuk diedarkan kepada kepada mangsa banjir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan