81,733 Kes Kemalangan Jalan Raya Sejak 2006

Diterbitkan: Khamis, 25 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 81,733 kes kemalangan jalan raya melibatkan 1,174 kematian direkodkan semasa Ops Sikap sempena sambutan perayaan Aidilfitri dari tahun 2006 hingga September tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata terdapat lima negeri yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu Selangor sebanyak 189 kematian, Johor (158 kematian), Perak (120 kematian), Pahang (108 kematian) dan Kedah (102 kematian).

"Motosikal adalah penyumbang utama kemalangan maut dengan 541 kematian diikuti kereta dengan 285 kematian," katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Lim ingin mengetahui mengenai statistik jumlah kemalangan kenderaan Ops Sikap sempena sambutan Aidilfitri dari 2006 hingga 2010 mengikut kes kematian, negeri dan jenis kenderaan yang terlibat selain langkah-langkah kerajaan untuk mengurangkan statistik itu secara berkesan dan efektif.

Hishammuddin berkata, sehingga ke hari ini, pelaksanaan Ops Sikap oleh Polis Diraja Malaysia didapati mencapai matlamat.

"Dengan mengambil kira faktor-faktor seperti keadaan jalan raya yang tidak kondusif, jumlah kenderaan yang semakin bertambah dan kecuaian pemandu sendiri, operasi-operasi pencegahan kemalangan seperti Ops Sikap masih relevan dan perlu dilaksanakan untuk menurunkan jumlah kemalangan jalan raya," katanya.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dijalankan, sikap sesetengah pengguna jalan raya masih tidak berubah memandangkan kadar pelanggaran undang-undang lalu lintas didapati masih berlaku secara meluas.

Menurutnya, sikap pengguna yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan, sikap tidak berhemah dan kecuaian pemandu bukan sahaja memaksa pihak polis mengeluarkan saman yang tinggi malah menyumbang kepada 71 peratus punca kematian dalam kemalangan jalan raya.

"Kehadiran polis semata-mata tidak dapat mengubah sikap pengguna jalan raya melainkan pemandu itu sendiri bersedia untuk berubah ke arah yang lebih positif.

Kepatuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang jalan adalah rendah jika dilihat kepada kadar kemalangan yang tinggi," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan