Misi Kedua Ke Angkasa Lepas Diteruskan Namun Bukan Dalam Masa Terdekat - Dr Maximus

Diterbitkan: Rabu, 24 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia merancang supaya angkasawan keduanya berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama beberapa minggu atau bulan, namun misi kedua ke angkasa lepas ini berkemungkinan tidak dilaksanakan dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya bukan dalam beberapa tahun akan datang.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Dr Mustafa Subari berkata masa diperlukan untuk menyediakan maklumat berhubung persediaan dan bagi proses rundingan dengan bakal rakan usaha sama.

Beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum misi itu boleh dilancarkan, termasuk perkongsian dan jenis eksperimen yang akan dikendalikan di atas ISS, katanya kepada Bernama.

Beliau bagaimanapun, memberi jaminan bahawa program itu telah pun mendapat lampu hijau daripada kerajaan, mengambil kira manfaat yang akan dibawanya kepada negara.

"Ia masih berjalan namun tidak akan dilaksanakan dalam beberapa tahun akan datang, mungkin pada penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Namun begitu komitmen yang diberi oleh kerajaan mengikut RMK-10 adalah permulaan yang baik," katanya.

Mustafa berkata agensi itu masih mengadakan rundingan dengan bakal rakan usaha sama seperti Agensi Angkasa Persekutuan Russia (Roscosmos) dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) dalam usaha menyediakan kemudahan serta urusan yang diperlukan.

"Setakat ini, rundingan masih belum dimuktamadkan. Kami belum mendapat apa-apa cadangan konkrit daripada mereka," katanya.

Beliau berkata tidak seperti misi pertama, Malaysia merancang untuk menghantar angkasawan kedua dalam misi yang lebih lama ke ISS. Angkasawan pertama Malaysia Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor hanya berada selama 10 hari di ISS pada Oktober 2007 dan mengadakan lima eksperimen.

"Ia (misi berkenaan) agak singkat. Jadi, bagi misi kedua, kami berharap supaya angkasawan berada lebih lama di ISS, mungkin beberapa minggu atau bulan, agar beliau dapat menjalankan lebih banyak eksperimen sains mengenai mikro graviti," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili dilaporkan berkata Kabinet bersetuju untuk meneruskan program angkasawan mengikut RMK-10 (2011-2015).

Bagaimanapun, belum ada peruntukan disediakan bagi misi kedua itu sungguhpun peruntukan diberi untuk tujuan latihan dan pendidikan angkasa lepas.

Mustafa berkata beliau menganggarkan sekurang-kurangnya US$20 juta (kira-kira RM62.5 juta) diperlukan untuk membiayai projek berkenaan.

Beliau berkata Malaysia akan mengadakan satu lagi pencarian calon angkasawan sokongan sebaik sahaja misi kedua itu dilancarkan.

Mejar Dr Faiz Khaleed, iaitu angkasawan sokongan bagi misi pertama, telah pun dinamakan sebagai angkasawan paling berpotensi untuk misi kedua itu. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan