Minggu Malaysia Di Chiang Mai Bermula Esok - Berita Semasa | mStar

Minggu Malaysia Di Chiang Mai Bermula Esok

Diterbitkan: Rabu, 24 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Tourism Malaysia akan menganjurkan Minggu Malaysia di Chiang Mai selama lima hari mulai Khamis dalam usaha untuk terus meneroka pasaran pelancongan di utara Thailand.

Pengarah Tourism Malaysia yang berpejabat di Thailand, Iskandar Mirza Mohd Yusof hari ini berkata pelancongan pendidikan dan makanan Malaysia akan diketengahkan sepanjang promosi berlangsung selain destinasi pelancongan di negara berkenaan.

Wakil dari institusi pengajian tinggi Malaysia, syarikat pengeluar makanan dan agensi pelancongan serta pengusaha hotel di Malaysia akan mengambil bahagian dalam promosi itu yang akan diadakan di Central Plaza, katanya.

Daripada segi pelancongan pendidikan, katanya lokasi Malaysia yang dekat dekat Chiang Mai, kualiti pendidikan yang bertauliah dan kos efektif dapat menjadi faktor utama dalam memikat kumpulan berpendapatan sederhana di Chiang Mai untuk menghantar anak mereka meneruskan pengajian peringkat tinggi di Malaysia.

"Kami turut menyasarkan bukan sahaja pelancong tempatan dari Chiang Mai tetapi juga sebahagian besar daripada kalangan ekspatriat dari wilayah itu," katanya.

Chiang Mai akan menjadi hab ketiga syarikat penerbangan tambang murah AirAsia di Thailand selepas Bangkok dan Phuket, bermula Januari tahun depan dan ini akan melancarkan lagi pergerakan orang ramai di wilayah itu.

Iskandar berkata banyak pelancong dari Chiang Mai melawat Malaysia antara November dan Mac lepas.

Beliau berkata demonstrasi teh tarik, persembahan Sape (alat muzik tradisional Sarawak), pertandingan susun suai gambar, kuiz dan teka nama destinasi pelancongan akan diadakan sepanjang Minggu Malaysia.

Iskandar berkata 1.4 juta warga Thai melawat Malaysia tahun lepas dan unjuran tahun ini sebanyak 1.5 juta pelancong Thai dijangka dapat dicapai. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan