HDC Buka Laluan Pasaran Halal Untuk Diterokai Di Iran & Asia Barat

Diterbitkan: Rabu, 24 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih 350 syarikat dari Malaysia yang berminat untuk menerokai pasaran halal di Iran dan Asia Barat telah menerima latihan dan tunjuk ajar daripada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dalam satu bengkel yang diadakan pada Rabu.

Sebanyak 15 kertas kerja telah dibentangkan pada bengkel dua hari itu yang dianjurkan untuk menerangkan bagaimana hendak menjalankan perniagaan halal di Iran dan Asia Barat dengan strategi dan rakan niaga yang betul. Turut mengambil bahagian ialah syarikat-syarikat terkemuka Iran dan juga Dewan Perniagaan dan Perdagangan Iran.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, pasaran halal di Iran dan Asia Barat sebenarnya masih baru bagi ahli perniagaan Malaysia dan mereka harus mengambil peluang ini untuk menembusi pasaran yang bernilai jutaan ringgit itu.

Kata Jamil, ini sebenarnya adalah merupakan platform yang terbaik untuk para usahawan tempatan mengenali pasaran di Iran dan juga Asia Barat secara lebih dekat.

“Secara spesifiknya, nilai eksport yang boleh direbut menerusi seminar dan bengkel yang kita anjurkan ini ialah berjumlah RM35 juta,” kata Jamil.

Beliau menambah di Iran, syarikat Malaysia akan berpeluang untuk mempamerkan produk halal mereka di 1Malaysia Departmental Store (1MDS) yang dibuka di Tehran Mega Mall, iaitu pusat membeli-belah terbesar di ibu negara republik itu.

Gedung 1MDS ini dikendalikan oleh Kumpulan Neguin, yang diperbadankan di Iran dengan satu objektif utama iaitu membantu mengedar dan menjual produk halal usahawan Malaysia.

Kumpulan Neguin telah memperuntukkan modal berjumlah RM15 juta untuk membeli produk-produk usahawan Malaysia untuk ditempatkan di outlet 1MDS.

Di bawah perancangan, dalam tempoh lima tahun dari sekarang, model outlet 1MDS akan dikembangkan kepada 10 gedung membeli-belah yang lain di Iran dengan nilai anggaran keseluruhan boleh mencecah RM1.85 bilion.

Pasaran halal Iran dianggarkan bernilai RM87.69 bilion (AS$28 bilion).

Antara mereka yang mengambil bahagian dalam seminar yang berlangsung dua hari ini ialah Presiden Dewan Perniagaan Iran, Dr Mohamad Nahavandian; Pengerusi Industri Makanan Halal Iran, Abdol Hossein Fakhari; Pengarah Urusan Kumpulan Neguin, Ramin Ahmadi.

HDC dibentuk pada 18 September 2006 dengan objektif untuk mengkordinasikan keseluruhan pembangunan industri halal Malaysia untuk pasaran domestik dan juga antarabangsa.

HDC kini merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Jumlah penganut Islam di seluruh dunia pula dianggarkan 1.8 bilion orang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan