GTP Capai Hasil Positif Menerusi NKRA - Koh

Diterbitkan: Rabu, 24 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan pada Januari lepas telah mencapai kesan positif menerusi pelbagai inisiatif dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata GTP berjaya mencapai hasil yang memberangsangkan berdasarkan penambahbaikan, perubahan dan pembaharuan perkhidmatan awam.

"Pertama, GTP telah meningkatkan lagi budaya kecemerlangan melalui penggunaan kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Makmal Penyampaian yang terbukti berkesan dan berhasil.

"Sekarang, lebih ramai penjawat awam telah menjadi lebih sedar dan komited terhadap prestasi untuk mendatangkan hasil yang besar dan bermakna untuk rakyat," katanya ketika menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) di persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Enam NKRA itu ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam.

Koh berkata langkah mengejar kecemerlangan diperhebatkan melalui proses penarafan atau ranking secara bersaing antara semua balai polis di bawah NKRA mengurangkan jenayah serta semua sekolah di bawah NKRA meningkatkan kualiti pendidikan.

"Yang berada di paras tertinggi diberi ganjaran dan pengiktirafan, manakala di paras rendah diberi bantuan dan galakan untuk meningkatkan prestasi masing-masing," katanya.

Beliau berkata kaedah makmal juga berjaya memecahkan tembok penghalang dan mewujudkan jambatan kerjasama dan penyelarasan lebih rapat dalam kalangan kementerian dan agensi yang berkenaan.

Sebagai contoh, kata Koh, di bawah NKRA membantu meningkatkan mutu hidup isi rumah berpendapatan rendah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibantu oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan serta beberapa kementerian lain bagi melaksanakan Skim 1Azam.

"Skim 1Azam meningkatkan lagi keupayaan ekonomi anggota-anggota isi rumah miskin, di mana, Kementerian Sumber Manusia mengendalikan 1Azam Kerja, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melaksanakan 1Azam Tani dan sebagainya," katanya. Koh berkata pendekatan berfokus secara bekerjasama itu adalah hasil satu proses pemacuan dan pemantauan yang rapi iaitu setiap menteri peneraju NKRA mempengerusikan mesyuarat mingguan di peringkat kementerian dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) mengadakan mesyuarat secara mingguan untuk membantu menyelesaikan masalah pengurusan.

"Timbalan Perdana Menteri sendiri mempengerusikan Delivery Task Force (DTF) bagi setiap NKRA setiap sebulan," katanya.

Koh berkata GTP juga mengambil kira pandangan dan maklumat balas rakyat melalui penyertaan dalam makmal, Hari Terbuka dan proses pelaksanaan.

Contohnya, anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang telah dilatih untuk menjalankan rondaan bersama-sama anggota polis serta skim rondaan sukarela dalam kawasan Rukun Tetangga berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 16 peratus dan jenayah jalanan termasuk ragut sebanyak 37 peratus.

Di samping enam NKRA, beliau berkata GTP juga melaksanakan KRA dan KPI terhadap semua menteri dan oleh itu, GTP merupakan antara usaha tranformasi kerajaan yang terbesar pernah diusahakan oleh mana-mana kerajaan kerana membabitkan penglibatan banyak agensi dan ramai penjawat awam.

Mengenai beberapa masalah awalan yang dihadapi dalam tempoh setahun pertama itu, Koh berkata, ia melibatkan penyelarasan antara agensi yang masih kurang rapi, pangkalan data kurang sempurna, taraf penghayatan penjawat awam masih belum serata kerana GTP memerlukan perubahan daripada segi minda, cara pelaksanaan dan perhubungan kerja dan pelaksanaan kuasa pengambilan tanah.

"Bagaimanapun, kerajaan yakin bahawa kekurangan seumpama ini dapat diatasi dan GTP boleh berjaya," kata Koh sambil menjelaskan bahawa hampir semua kerajaan negeri telah bekerjasama terutama kerajaan di bawah Barisan Nasional.

Mengenai projek yang dirancangkan dalam GTP, beliau berkata secara spesifiknya beberapa projek telah dikenal pasti dan dimasukkan dalam Bajet 2010.

"Memandangkan makmal (NKRA) diadakan pada penghujung 2009, projek yang tidak sempat dimasukkan dalam Bajet 2010 akan dimasukkan sebagai projek tambahan yang telah diluluskan oleh dewan ini dan seterusnya dalam tempoh tiga tahun iaitu tahap pertama pelaksanaan enam NKRA di bawah GTP," katanya.

Koh berkata pelaksanaan GTP berdasarkan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan merentas dasar dan pelaksanaan sebagai panduan utama kerajaan termasuk golongan wanita yang memonopoli dalam beberapa sektor pekerjaan seperti perguruan dan universiti tempatan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan