Sekurang-Kurangnya Dua Pakar Saraf Di Setiap Negeri - Liow

Diterbitkan: Isnin, 22 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk mengembangkan perkhidmatan pembedahan saraf di kesemua hospital-hospital negeri, dengan menyediakan sekurang-kurangnya dua pakar saraf di setiap hospital, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pada masa ini terdapat lapan hospital negeri tidak mempunyai perkhidmatan pembedahan saraf iaitu Kangar, Alor Setar, Kota Baharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Klang, Seremban dan Melaka.

"Pada masa ini, kita merancang untuk menempatkan dua pakar saraf dahulu. Semua ini adalah hospital-hospital utama, hospital yang melakukan pembedahan... sekurang-kurangnya dua orang di setiap hospital, bermakna kita akan mempunyai 16 (pakar saraf) di sana.

"Ini akan dapat menangani beberapa keperluan segera. Kita perlu menangani keperluan segera sekarang. Kita mulakan dengan hospital-hospital negeri dahulu," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kongres Pakar Bedah Saraf kelapan Negara Asia dan Kongres Kejururawatan Pembedahan Saraf Asia Pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Liow berkata pada masa ini terdapat 74 pakar bedah saraf di negara ini, dengan 26 ditugaskan di hospital-hospital kementerian, 19 di universiti- universiti dan 29 di sektor swasta.

Katanya jumlah berkenaan satu peningkatan yang ketara berbanding dengan hanya 36 pakar bedah di Malaysia pada 2004.

Selain itu, Liow berkata terdapat 26 penuntut sedang mengikuti pengajian pembedahan saraf, dengan 11 daripada mereka berada dalam tahun pertama.

Bagi menyediakan perkhidmatan pembedahan saraf, beliau berkata kerajaan akan memperkukuhkan enam pusat wilayah di Johor Baharu, Kuala Lumpur, Sungai Buloh, Pulau Pinang, Kuching and Kota Kinabalu dengan sekurang-kurangnya empat pakar saraf di setiap pusat.

Dalam masa terdekat ini, Kementerian Kesihatan merancang untuk meningkatkan tiga lagi pusat pembedahan saraf yang terletak di Terengganu, Alor Setar and Melaka.

"Ia akan meningkatkan lagi litupan perkhidmatan pembedahan saraf dan penjagaan pesakit, khususnya dalam pengurusan kes-kes neurotrauma yang masih menjadi masalah utama di negara ini," katannya.

Ketika diminta mengulas mengenai pindaan dalam perlembagaan Barisan Nasional (BN), Liow yang juga Timbalan Presiden MCA berkata ia merupakan satu pindaan yang penting bagi tranformsi BN dalam usaha untuk memastikan momentum perubahan dalam kerajaan bergerak dengan baik.

"BN kini dalam usaha mengadakan transformasi politik. Kita tahu bahawa di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kita telah berjaya mengadakan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Sekarang kita dalam usaha melancarkan Political Transformation Program," katanya.

Sabtu lepas, Dewan Tertinggi BN bersetuju meminda perlembagaannya dengan memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan serta selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan