PM Nafi Rombakan Kabinet, Sifatkan Sebagai Khabar Angin

Diterbitkan: Isnin, 22 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin berkata satu laporan akhbar kononnya beliau akan mengadakan rombakan kabinet dan pilihan raya umum dalam masa terdekat ini adalah khabar angin semata-mata.

"Biasalah, Malaysia tidak pernah sunyi daripada khabar angin dan laporan," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pemimpin Perniagaan Global 2010 di sini hari ini apabila ditanya mengenai laporan itu yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam.

Laporan itu, yang tidak memetik sebarang sumber, menyebut bahawa rombakan itu adalah bagi membolehkan Najib membentuk satu pasukan yang kuat untuk membantu beliau melaksanakan dasar ekonomi dan trasformasi yang beliau perkenalkan menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ditanya mengenai langkah Barisan Nasional meminda perlembagaannya supaya ia lebih inklusif dan terbuka kepada semua rakyat, beliau berkata itu tidak ada kaitan dengan pilihan raya."

"Ini adalah satu penambahbaikan politik BN. Pilihan raya adalah satu hal yang lain," kata Najib yang juga Pengerusi BN.

Beliau berkata penambahbaikan politik itu sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Mengenai sokongan kepada BN ekoran kemenangannya dalam pilihan raya kecil di Galas dan di Batu Sapi baru-baru ini, Najib berkata keputusan itu menunjukkan sokongan kepada BN semakin meningkat.

"Namun, kita tidak boleh ambil mudah dan menganggap kita sudah capai semuanya. Kita perlu teruskan usaha kerana kita sudah ada momentum bagi Program Transoformasi Kerajaan, dan kita sedang mendapatkan momentum Program Transformasi Ekonomi, dan sekarang kita perlu pastikan (kejayaan) momentum politik," katanya.

Mengenai langkah BN meminda perlembagaannya untuk menerima ahli bersekutu dan ahli gabungan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan parti komponen mengenai calon dalam pilihan raya umum, Najib berkata BN akan menjelaskan mengenai kelayakan bagi ahli bersekutu dan ahli gabungan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata bahawa pada asasnya, seseorang yang ingin bertanding sebagai calon BN mestilah menjadi ahli parti komponennya, dan sekiranya dalam kes-kes terpencil apabila tidak ada parti komponen yang mahu meletakkan calon di kawasan yang ditetapkan untuknya, maka kerusi itu akan dipertimbangkan oleh Dewan Tertinggi BN.

Keputusan untuk menyerahkan mana-mana kerusi kepada ahli bersekutu atau ahli gabungan hanya akan dibuat selepas perbincangan diadakan dengan semua komponen BN dan berdasarakan semangat BN, kata Najib.

"Kita tidak akan ambil kerusi daripada parti komponen BN dan menyerahkannya kepada ahli bersekutu dan ahli gabungan. Itu tidak betul," katanya.

Diminta mengulas mengenai kegagalan rakyat negara ini membayar balik pinjaman bank dan kad kredit akibat kos perubatan yang tinggi, Najib berkata rakyat perlu bijak membuat pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital tertentu.

Katanya sistem hospital di negara ini adalah yang terbaik di dunia namun mengalami kekangan disebabkan hospital perlu menyediakan perkhidmatan kepada bilangan pesakit yang begitu ramai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan