MAHA 2010: 1.5 Juta Pengunjung Dijangka Hadir

Diterbitkan: Isnin, 22 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) dijangka akan menarik lebih 1.5 juta pengunjung dalam dan luar negara.

Menteri Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, jumlah itu dijangka dapat dicapai ekoran kejayaan penganjuran MAHA pada tahun sebelumnya.

Noh berkata, 22 negara juga telah mengesahkan penyertaan mereka pada MAHA tahun ini selain 250 usahawan yang bersetuju menghadiri pameran itu sebagai pemerhati.

"Ini adalah satu kejayaan promosi sebelum ini yang menekankan promosi di negara Eropah dan Amerika Latin sebelum ini.

"Keuntungan juga dijangka akan meningkat daripada RM9.6 juta pada penganjuran lalu kepada RM15 juta tahun ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak MAHA 2010 di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Noh berkata, pihak penganjuran juga menganggarkan nilai jualan pada pameran 10 hari yang bakal bermula pada 26 November sehingga 5 Disember itu akan mencecah RM150 juta.

MAHA 2010 yang diadakan Tapak Eskpo Pertanian Malaysia (MAEPs) di sini dibuka kepada orang awam dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Mengenai penganjuran kali ini, Noh berkata, pameran itu dapat menarik minat usahawan dalam dan luar negara dalam menyertai pameran itu sekaligus dapat meningkatkan pelaburan dalam industri pertanian dan asas tani.

Katanya lagi, melalui pameran itu, tidak mustahil Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang berjaya dalam pembangunan agrikultural yang menjadi contoh kepada negara lain.

"Orang ramai perlu menghayati dan memahami pertanian adalah satu bidang yang menjanjikan masa depan amat cerah, apatah lagi MAHA 2010 menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dalam aspek produk, proses dan teknologi pertanian," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan