Aman Malaysia Bantu Mangsa Banjir Di Kedah

Diterbitkan: Isnin, 22 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pertubuhan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) dengan bantuan Belia 4B Negeri Johor menghantar bantuan bernilai RM20,400 bagi membantu mangsa banjir di Kampung Kubang Rotan Hilir, Kedah.

Bantuan yang dihantar termasuk 12,000 botol air mineral, 200 buah beg sekolah, 200 pasang kasut sekolah, barang kelengkapan dapur untuk surau dan wang terkumpul daripada tabung.

Barangan tersebut telah dihantar dengan menggunakan treler 40 kaki yang disumbangkan oleh Kontena Nasional Berhad.

Pengerusi Aman Malaysia, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata walaupun misi utama pertubuhan itu adalah untuk menerapkan keamanan di peringkat antarabangsa, namun bantuan tetap diberikan apabila berlaku tragedi tersebut berlaku di negara sendiri.

"Selagi terdaya, Aman Malaysia ingin menbantu semua. Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama pelbagai pihak. Hari ini, kami mendapat sokongan Kelab Belia 4B Johor untuk memberi bantuan barangan.

"Minggu lepas dengan kerjasama Kelab Sukan MK Land Bhd, kami juga telah membantu mangsa-mangsa banjir agar sedikit sebanyak, mereka dapat menyambut Aidiladha dengan lebih selesa,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sabtu lepas, Aman Malaysia bersama-sama sukarelawan Kelab Sukan MK Land Bhd telah ke Alor Setar membantu membersihkan rumah mangsa banjir di sana.

Sebanyak lima buah sekolah dan 12 buah rumah di sekitar Kota Setar dan Anak Bukit telah dibersihkan oleh sukarelawan Aman Malaysia dan Kelab Sukan MK Land Bhd.

Turut serta dalam rombongan itu adalah Pengarah Eksekutif MK Land Bhd, Felina Mustafa Kamal.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan