Negara Rugi Besar Akibat Kemalangan Jalan Raya

Diterbitkan: Ahad, 21 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PANGKOR: Negara mengalami kerugian berbilion ringgit pada setiap tahun akibat kes kemalangan jalan raya yang kadarnya meningkat setiap tahun, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut beliau, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati pada tahun 2008 sahaja, negara mencatatkan kerugian sebanyak RM7.8 bilion yang bersamaan dengan 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Berdasarkan statistik pada tahun lepas sahaja, seramai 6,745 pengguna jalan raya maut berbanding hanya 6,527 orang pada tahun 2008, di mana 60 peratus daripadanya merupakan penunggang dan pembonceng motosikal, katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor di sini, Ahad.

Mengenai program itu, beliau berkata, ia merupakan antara program yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu kerajaan menangani kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan semakin meningkat setiap tahun.

"Sejak tahun 2004 hingga kini, seramai 8,805 orang di seluruh Perak telah mengikuti program tersebut bagi mendapatkan lesen memandu motosikal dan kesedaran terhadap aspek keselamatan jalan raya.

Bagi tujuan itu, mereka hanya dikenakan bayaran RM170 bagi mendapatkan lesen motosikal berbanding RM261 jika melalui Institut Memandu," katanya.

Sementara itu, Kong turut mengumumkan pembinaan sebuah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) cawangan Seri Manjung yang dijangka siap pada penghujung April tahun depan bagi menggantikan cawangan sedia ada di kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan.

Pada majlis tersebut, sebanyak 267 peserta terdiri daripada warga emas berumur lebih 45 tahun dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor menerima lesen memandu melalui program SKSJ.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan dan Pengarah JPJ Perak Jaafar Mohamed. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan