Kulasegaran Setia Dengan DAP

Diterbitkan: Ahad, 21 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Anggota Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran sekali lagi mengulangi pendirian tidak akan meninggalkan DAP walaupun selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Pengerusi DAP Perak dalam pemilihan pada konvensyen parti itu di sini Ahad lepas.

Katanya kekalahan dalam pemilihan itu dan keputusannya menolak tawaran sebagai naib pengerusi negeri tidak akan menyebabkan beliau meninggalkan parti.

"Saya juga tidak bercadang untuk menyertai parti baru yang dikatakan akan ditubuhkan Datuk Zaid Ibrahim (bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan)," katanya ketika ditanya pemberita selepas majlis pendaftaran pengundi baru di Kampung Tawas di sini hari ini.

"Sama ada ada masa depan atau tidak saya tidak akan meninggalkan DAP...ini parti pertama dan terakhir saya anggotai sama ada baik atau buruk," katanya.

Kulasegaran berkata jawatan Naib Pengerusi DAP kebangsaan yang disandangnya sekarang dilihat sebagai penting dan beliau tidak memerlukan parti lain untuk meneruskan karier politiknya.

Cakap-cakap politik menyatakan Kulasegaran kononnya akan keluar parti selepas menolak tawaran untuk dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Perak dan menyuarakan kekecewaan kerana kalah dalam pemilihan peringkat negeri Ahad lalu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan