Kerajaan Akan Keluarkan Bantuan Segera Untuk 25,000 Pesawah

Diterbitkan: Ahad, 21 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Kerajaan akan mengeluarkan bantuan segera kepada 25,000 pesawah di Kedah dan Perlis yang terbabit dengan bencana banjir bagi membolehkan mereka meneruskan kegiatan penanaman padi dengan sempurna.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, walaupun kerajaan sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan bantuan pertanian berikutan ramalan akan berlaku gelombang kedua banjir, namun bagi industri tanaman padi, ia tidak boleh ditangguhkan.

"Kabinet telah bersetuju bahawa bantuan kepada pesawah padi diberikan segera bagi mematuhi jadual penanaman dua kali setahun," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan pinjaman semula kepada usahawan Tekun Nasional yang terjejas banjir di Perlis di sini, Ahad.

Katanya sebanyak 50,000 hektar kawasan tanaman padi yang diusahakan 25,000 petani di Kedah dan Perlis terjejas dalam kejadian banjir baru-baru ini dengan kerugian dianggarkan RM50 juta.

Beliau turut menganggarkan bahawa nilai kerugian pengeluaran padi di kawasan terjejas banjir ialah sebanyak RM200 juta jika tanaman padi tidak dilaksanakan.

Menurutnya, permohonan bantuan berupa benih padi, baja dan kos membajak untuk pesawah terbabit akan dikemukakan kepada kabinet Jumaat ini untuk mendapatkan kelulusan.

Sementara menunggu kelulusan kabinet, beliau berkata kementeriannya akan mendahulukan bantuan itu bagi membolehkan kerja-kerja persawahan yang sepatutnya bermula pertengahan bulan ini dilaksanakan segera.

Noh berkata kementeriannya juga akan menubuhkan kor sukarelawan yang membabitkan sukarelawan tani dan nelayan bagi membantu mangsa-mangsa bencana seperti banjir pada masa akan datang.

Mengenai bantuan kepada usahawan Tekun Nasional yang terjejas banjir, beliau berkata, ia bertujuan membolehkan para usahawan itu meneruskan kegiatan mereka melalui pinjaman tersebut.

"Apa yang penting usahawan yang diberi pinjaman itu dapat meneruskan kegiatan mereka dengan sempurna. Jika tak diberi pinjaman, mereka akan menghadapi masalah terutama untuk membayar balik pinjaman lama," katanya.

Sebelum ini, kesemua usahawan itu telah diberi pinjaman bernilai lebih RM2.2 juta dan pinjaman semula lebih RM1.24 juta, yang membolehkan mereka menyediakan semula peralatan perniagaan yang rosak akibat banjir.

Penyerahan pinjaman Tekun Nasional lebih RM1.24 juta itu disampaikan oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu kepada 256 usahawan.

Mereka yang terjejas banjir itu adalah antara 2,292 peminjam Tekun Nasional seluruh Perlis yang menjalankan pelbagai kegiatan membabitkan nilai pinjaman lebih RM18 juta.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan