DBKL Mahu Kurangkan Impak Banjir Kilat Di Ibu Kota

Diterbitkan: Ahad, 21 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Banjir kilat di ibu kota Isnin lepas ibarat sudah sebati di kalangan warganya, dan yang pasti, musibah alam itu akan berulang.

Warga kota yang menjadi mangsa pasti merungut kerana selain tersangkut beberapa jam dalam kesesakan lalu lintas, banyak harta awam rosak setiap kali banjir kilat berlaku, kebiasaannya pada waktu puncak lewat petang.

Punca banjir bukan lagi rahsia, kerana selain timbunan sampah yang menyebabkan longkang tersumbat, sungai yang ada juga tidak mampu menampung hujan lebat berterusan, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan rendah.

Bagi meminimumkan impak banjir kilat itu terhadap jutaan penghuni ibu kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pelbagai persiapan, khususnya pada musim tengkujuh sekarang.

Timbalan Ketua Pengarah DBKL Datuk Amin Nordin Abd Aziz berkata, banyak perancangan telah dibuat, iaitu selain menjaga kebersihan sungai, DBKL juga telah membina lencongan arus sungai, melibatkan Sungai Keruh dan Sungai Gombak, bagi mengalirkan air ke kolam tadahan.

"Bila hujan berhenti dan air sungai telah surut, air di kawasan tadahan akan disalurkan semula ke sungai. Ini dapat mengatasi masalah limpahan air sungai ke kawasan rendah," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pihak Alam Flora juga mempergiatkan usaha membersihkan longkang serta lubang di tepi jalan sejak sebulan lepas supaya air hujan dapat mengalir dengan lancar.

"Selain itu, jika tiba-tiba berlaku banjir di tengah jalan, kerja-kerja pembersihan longkang dan lubang di tepi jalan akan terus dibuat tanpa mengira cuaca untuk memastikan banjir itu cepat surut," katanya.

Amin Nordin berkata, bantuan turut disediakan bagi menarik kereta dan kenderaan lain yang terperangkap dalam banjir dan bilik gerakan DBKL akan beroperasi selama 24 jam untuk memberi bantuan kepada warga kota.

Sementara itu, penunggang motosikal meminta pihak berkuasa menambah bilangan tempat berteduh untuk mereka berlindung ketika hujan.

Ahmad Othman, 30, berkata, ia perlu diletakkan di lokasi strategik dan ini amat penting supaya penunggang motosikal sepertinya tidak perlu mengharung bahaya meneruskan perjalanan ketika hujan dan banjir.

"Jika di tengah KL, tempat berteduh dirasakan sudah mencukupi sebab banyak bangunan yang boleh dijadikan tempat persinggahan, tetapi di lebuh raya tidak banyak tempat berteduh menyebabkan penunggang tiada pilihan dan terpaksa meneruskan perjalanan," katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal sering terbabas akibat jalan berlopak serta licin, dan dua bulan lepas, dia terbabas bersama tiga penunggang motosikal lain selepas terlanggar lopak air di kawasan Bricksfield.

Tambahnya lagi, sepanjang lima tahun menetap di ibu kota, dia mendapati banjir kilat seringkali berlaku akibat longkang yang tersumbat, menyebabkan air melimpah ke tengah jalan.

Seorang pemandu kereta, Amirah Abd Karim, 35, pula berharap pihak berkuasa dapat mengawal kesesakan jalan raya setiap kali banjir kilat berlaku kerana pada kebiasaannya, lalu lintas di ibu kota akan lumpuh sehingga berjam-jam.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa perlu membersihkan semua longkang dan saliran di ibu kota lebih awal dan kerap bagi memastikan laluan air lancar. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan