Garis Panduan Hasutan Dunia Siber Siap Minggu Depan: Hishamuddin

Diterbitkan: Sabtu, 20 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Satu garis panduan yang memberi definisi terperinci mengenai kesalahan hasutan dalam kontek dunia siber akan diperkenalkan dan dijangka siap minggu depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Tanpa menyatakan bila garis panduan itu akan dikuatkuasakan, beliau berkata setakat ini, ia sedang diperhalusi.

Katanya, proses merangka draf garis panduan itu turut melibatkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz serta Jabatan Peguam Negara.

Hishamuddin berkata walaupun dari sudut perundangan maksud kesalahan hasutan secara jelas membabitkan cetakan, ucapan dan bentuk elektronik, bagi dunia siber, ia belum lagi diperincikan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan gantian Mykad satu hari di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak di sini, Sabtu.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, beliau berkata mulai tahun depan, JPN akan memperluaskan inisiatif gantian MyKad satu hari di seluruh negara secara berperingkat.

"Sejumlah RM42 juta diperuntukkan kepada JPN dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk melaksanakan inisiatif ini melalui projek percetakan MyKad secara teragih,"katanya.

"Pelancaran perkhidmatan di Sarawak jelas menunjukkan rakyat negeri ini turut berpeluang menikmati kemudahan setara seperti dikecapi oleh rakyat di Semenanjung," katanya.

Beliau berkata selain Sarawak, kemudahan gantian Mykad satu hari juga terdapat di ibu pejabat JPN Putrajaya dan Melaka. Katanya, sebelum ini, pemohon gantian MyKad terpaksa menunggu sebulan bagi mendapatkan Mykad baru. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan