Anwar Tidak Sama Dengan Suu Kyi - Penulis Amerika - Berita Semasa | mStar

Anwar Tidak Sama Dengan Suu Kyi - Penulis Amerika

Diterbitkan: Sabtu, 20 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh menyamakan diri beliau dengan pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, kata seorang penulis laman web berhaluan kanan Amerika.

Rachel Motte, yang menulis dalam New Ledger, sebuah penerbitan laman web Amerika yang menyiarkan pendapat berhaluan tengah-kanan berkata, persamaan itu tidak wujud kerana kes peribadi yang dihadapi Anwar berbeza dengan yang dihadapi Suu Kyi.

Tambahan lagi kata penulis itu, landskap politik Malaysia jauh bezanya dengan yang terdapat di Myanmar.

"Jika ada manusia yang menderita kerana memperjuangkan demokrasi, maka Suu Kyilah orangnya... bukan Anwar Ibrahim, kerana beliau diberi peluang menghadapi perbicaraan, dibenarkan mendapat khidmat kumpulan peguam, diberi akses kepada media tempatan dan antarabangsa, dibenar bergiat dalam parti politik pimpinannya dan diberi kebebasan untuk bergerak ke seluruh dunia.

"Anwar bukan Aung San Suu Kyi. Sebenarnya, tindakan beliau sebagai pengasas bersama sebuah badan yang memperjuangkan Persaudaraan Islam Sejagat menunjukkan beliau jauh berbeza dengan Suu Kyi, yang telah banyak berkorban untuk memperjuangkan demokrasi," tulis Motte.

Penulis berkenaan mendakwa Anwar menggunakan pembebasan Suu Kyi baru-baru ini untuk menarik perhatian ramai kepada masalah politiknya ketika beliau berucap tentang keadilan sosial dan demokrasi di Sydney, Australia awal minggu ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan