Bantuan Pemulihan Disalur Jika Tiada Banjir Kedua - Noh

Diterbitkan: Khamis, 18 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJONG KARANG: Bantuan pemulihan kepada petani di Perlis dan Kedah yang terlibat dalam bencana banjir baru-baru ini akan diberi apabila kerajaan pasti bencana alam itu tidak akan melanda negeri terbabit buat kali kedua.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata pihaknya telah mencadangkan pemberian bantuan itu tetapi Kabinet berpendapat ia perlu dikaji terlebih dahulu bagi memastikan gelombang kedua banjir tidak melanda kedua-dua negeri itu.

"Kabinet berpendapat bantuan yang kita berikan kelak tidak akan bermakna jika betul gelombang banjir kedua akan melanda Perlis dan Kedah. Peruntukan sudah ada dan hanya menunggu kepastian bahawa negeri-negeri itu tidak akan dilanda banjir buat kali kedua.

"Sekiranya kita dapat kepastian ia tidak akan berlaku, kita akan terus salurkan bantuan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana Sempena Sambutan Aidiladha Parlimen Tanjong Karang di sini Khamis.

Noh berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar yang memetik permintaan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis Sabry Ahmad supaya kementerian mempercepatkan bantuan pemulihan kepada petani yang sawah mereka ditenggelami banjir untuk membolehkan tanaman semula padi dibuat akhir bulan ini.

Sabry berkata bantuan itu diperlukan secepat mungkin bagi diselaraskan dengan jadual tuaian tahun depan iaitu pada bulan April.

Sementara itu, Noh berkata beliau akan menyampaikan bantuan berbentuk modal permulaan kepada kira-kira 565 peminjam Tekun Nasional di Perlis dan Kedah yang mengalami kerugian akibat banjir, Sabtu ini.

Terdahulu, Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang menyumbangkan 34 ekor lembu korban untuk diagih kepada kira-kira 1,000 penerima yang terpilih dari 99 cawangan Parlimen itu.

Beliau turut melancarkan Skuad Sayang Wanita Umno bahagian Tanjong Karang yang dihadiri kira-kira 550 anggota Wanita Umno bahagian itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan