Anwar Hina Tanah Air Sendiri - Tun Abdullah

Diterbitkan: Khamis, 18 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan Malaysia sebuah negara Islam moden sebagai satu penghinaan terhadap tanah air sendiri. "Mengapa jadi penghinaan? Dia (Anwar) yang menghina, sebab itu dia kata itu penghinaan. Mungkin sudah ada dalam fikiran dia yang kita ini hina...kita tak dapat terima pandangan itu," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Abdullah diminta mengulas mengenai kenyataan ketua pembangkang itu bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Anwar berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia dua hari lepas, dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya, gagal.

Terdahulu, Abdullah mengisytiharkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai Tapak Warisan Semula Jadi Negara di Dataran FRIM, Kepong di sini.

Dalam ucapannya, Abdullah berkata pengisytiharan itu telah memberi pengiktirafan kepada institut yang ditubuhkan pada 1929 itu sebagai satu daripada institusi penyelidikan perhutanan tropika yang terulung di dunia.

"Ternyata setelah lebih 80 tahun, kawasan FRIM yang dahulunya terdiri daripada kawasan terbiar yang ditumbuhi belukar, telah berjaya dipulihkan.

"Oleh itu kawasan FRIM boleh diisytiharkan sebagai kawasan model pemulihan hutan yang terbaik melalui usaha penanaman dan penjagaan yang teratur," katanya.

Abdullah berkata FRIM sebagai kawasan hutan buatan manusia yang terbesar di dunia seluas 485.2 hektar perlu meningkatkan dan mengembangkan industri perhutanan negara supaya tidak dilihat hanya tertumpu kepada industri balak semata-mata. "FRIM mesti bersama dengan Jabatan Perhutanan mewujudkan satu industri perhutanan yang bukan hanya sekadar memberi permit kepada orang untuk tebang pokok tetapi menjadi pusat untuk menghasilkan banyak tanaman yang mempunyai nilai harga dari segi perubatan, ubat tradisional dan farmaseutikal.

"Kita juga berharap FRIM akan mengembangkan usahanya dengan membuka institut penyelidikan yang lebih besar di setiap negeri supaya persekitaran hutan hujan seperti ini dapat kita wariskan kepada generasi akan datang," katanya.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abdul Latif Mohmod pula berkata penggunaan polisterin serta beg plastik akan mula diharamkan di kawasan FRIM mulai Januari tahun depan bagi meningkatkan amalan mesra alam dalam kalangan pengunjung ke FRIM. "Langkah lain yang mungkin kita akan kuatkuasakan ialah meningkatkan caj masuk ke FRIM dari RM5 ke RM7, (tetapi) jika orang ramai serahkan sampah sarap yang mereka bawa masuk kepada kita di pintu keluar, kita akan kembalikan semula caj tambahan RM2 itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan