Umat Islam Di Malaysia Perlu Banyak Bersyukur - Najib

Diterbitkan: Selasa, 16 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata umat Islam di negara ini perlu banyak bersyukur kerana menjadi warga sebuah negara yang dirahmati dengan pelbagai nikmat.

Perdana Menteri berkata dengan penuh kesyukuran, umat Islam dituntut untuk memanfaatkan sebaik-baiknya segala kurnian Allah swt bagi mencari kejayaan di dunia dan di akhirat.

"Janganlah sekali-kali kita bersifat kufur nikmat atau mengambil mudah tanggungjawab kita selaku hamba dan Khalifah-Nya di muka bumi. Umat Islam perlu memelihara diri mereka daripada melakukan kerosakan yang boleh membawa kepada kelemahan, kehinaan dan akhirnya kemusnahan umat secara keseluruhan," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha esok dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Najib berkata hasil daripada memanfaatkan segala potensi yang ada, Malaysia telah mencapai kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu sebagai antara negara yang memiliki Indeks Pembangunan Manusia Tinggi dengan menduduki tangga 57 daripada 169 negara dalam Laporan Pembangunan Manusia 2010 terbitan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

"Malaysia kini berada di ambang baru lonjakan pembangunan negara. Sepanjang hampir dua tahun lepas, kerajaan telah meletakkan asas-asas konkrit di dalam membentuk dasar, inisiatif dan program baru bagi memulakan pusingan terakhir ke arah tercapainya wawasan nasional untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

Najib berkata kini sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan segala dasar, inisiatif dan program yang telah dirancang, dengan semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan segala rancangan akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat.

"Untuk itu, iltizam, kerjasama dan pengorbanan semua pihak di pelbagai peringkat adalah amat penting," katanya.

Perdana Menteri turut menyarankan rakyat Malaysia supaya sentiasa berusaha meringankan penderitaan golongan kurang bernasib baik, bukan sahaja dengan mengagihkan daging korban tetapi juga bersedekah mengikut kemampuan.

Najib berkata sempena sambutan Aidiladha ini, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada contoh keimanan dan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s di dalam melaksanakan perintah Allah swt.

"Jika manifestasi keimanan dan kesanggupan berkorban tersebut berjaya diteladani umat Islam hari ini, maka kita akan berada pada landasan betul untuk muncul sebagai umat yang mulia dan dihormati sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai umat contoh," kata Najib yang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata umat Islam perlu melakukan muhasabah diri dengan tujuan untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Beliau berkata umat Islam perlu memperkukuhkan jalinan persaudaraan dan perpaduan dalam Islam tanpa mengira perbezaan harta, pangkat, bangsa, budaya mahupun ideologi politik.

"Apabila umat Islam menunaikan rukun Islam kelima ini, tidak ada apa-apa lagi yang membezakan seorang Muslim dengan Muslim yang lain di sebalik pakaian ihram yang meleburkan tembok harta dan pangkat kecuali tingkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT," kata Muhyiddin, yang turut mengucapkan selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam.

Muhyiddin berkata dalam konteks negara, rakyat hendaklah menghayati makna pergorbanan yang sebenar dengan menghargai jasa dan bakti pemimpin dan generasi terdahulu dalam mewujudkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara.

"Kita perlu menggunakan perayaan Aidiladha yang penuh keberkatan ini untuk menilai apakah sumbangan telah kita curahkan dan apakah lagi sumbangan yang boleh kita berikan kepada pertiwi, demi mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang kita nikmati selama ini," katanya.

Muhyiddin berkata hanya dengan menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan bersedia untuk melakukan pengorbanan demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara di masa hadapan maka umat Islam di Malaysia akan menjadi umat contoh.

"Sesungguhnya perayaan Aidiladha ini sinonim dengan semangat pengorbanan seorang hamba kepada Allah SWT seperti yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s, yang menjadi lambang puncak kepatuhan dan ketakwaan kepada Allah SWT," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata: "Ibadah korban juga melambangkan kesungguhan seorang Muslim membelanjakan secebis daripada hartanya semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Dalam aspek hubungan sesama manusia, pengagihan daging korban terutamanya kepada golongan fakir miskin, mempertautkan jalinan persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim yang berasaskan ketakwaan kepada Allah SWT," katanya.

Muhyiddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban jiwa dan raga menjaga keselamatan negara dalam memastikan agar seluruh rakyat Malaysia dapat terus mengecapi nikmat keamanan dan kemakmuran yang besar nilainya.

Timbalan Perdana Menteri turut menasihati pengguna jalan raya yang pulang ke kampung, agar memandu dengan cermat dan mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya demi kebaikan semua orang.-BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan