PDRM Serah Tugas Kepada Tentera Kawal Sempadan

Diterbitkan: Selasa, 16 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RANTAU PANJANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin dengan rasminya menyerahkan tugas mengawal sempadan Malaysia dengan Thailand kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis menandatangani serah menyerah tugas dibuat oleh Panglima Markas Dua Briged Brigadier Jeneral Datuk Zulkifli Mansor dan Panglima Markas Lapan Briged Brigadier Jeneral Abdul Rahim Mutalib bagi pihak ATM manakala Pasukan Gerakan Am (PGA) diwakili Komander Briged Tenggaranya, SAC Abdul Rahim Jaafar.

Majlis penyerahan rasmi yang membabitkan kawasan sempadan Kelantan, Kedah/Perlis dan pantai barat Semenanjung Malaysia disaksikan oleh Panglima Dua Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Nor Daud dan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) bahagian Pasukan Gerakan Am, Pengurusan Sempadan dan Keselamatan Lapangan Terbang, Datuk Salleh Mat Rasid.

Salleh berkata, melalui perjanjian itu, ATM akan mengambil alih pengawalan sempadan dari PGA selama enam bulan bagi melihat keberkesanan sebelum kajian dibuat sama ada akan meneruskan tugas itu kepada ATM atau kembali kepada PDRM.

Sepanjang tempoh itu anggota PGA akan ditempatkan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor bagi membantu Ketua Polis Negara menangani jenayah, katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

"Polis memerlukan 10,000 anggota dan pegawai tambahan bagi menjaga keselamatan dalam negara dan tugas itu akan dibuat oleh PGA," katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata tugas itu akan dilakukan sebaik mungkin sejajar dengan keputusan yang dibuat bersama antara PDRM dan ATM sebelum ini.

Beliau berharap tugas diamanahkan kepada ATM dapat dilakukan dengan berkesan sejajar dengan saranan kerajaan untuk memastikan negara sentiasa selamat daripada ancaman.

"Kita tidak buat apa-apa sasaran dalam menentukan keselamatan dan kejayaan tetapi akan melakukan sebaik mungkin bagi memastikan negara sentiasa selamat dan aman," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan