Polis India Tahan Dua Suspek Pembunuhan Tiga Warga Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 13 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CHENNAI: Polis Selatan India hari ini menahan dua lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam seorang wanita warga Malaysia dan dua anaknya di Madurai pada Isnin lepas.

Kedua-dua suspek itu yang masing-masing berumur 29 dan 30 tahun, dikenali oleh keluarga mangsa, kata polis.

"Kami menahan kedua-dua suspek itu susulan maklumat yang diberi oleh ibu mangsa. Kami mengesyaki ia ada kaitan dengan pertikaian mengenai hartanah yang membawa kepada penculikan dan pembunuhan itu.

"Menjelang esok kami pasti dapat menahan dalang di sebalik pembunuhan ini," kata Inspektor Polis Vadipatti, P.R Lakshmanan, Sabtu.

Mayat M. Adhila Banu dan dua anaknya yang telah reput dijumpai dalam sebuah terusan yang dipenuhi air di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu pada Khamis pagi.

Mayat kanak-kanak itu Ajira Banu, 5 dan Mohd Aslam, 7, ditemui kira-kira lima kilometer dari mayat ibu mereka semuanya diikat berasingan menggunakan dhoti putih. Ketiga-tiga mangsa disyaki dicekik sehingga mati.

Suami Adhila yang hanya dikenali sebagai Muthusamy alias Mohammad, seorang warga India yang mempunyai taraf penduduk tetap Malaysia, ketika ini bekerja di Malaysia sebagai pemandu.

Pembunuhan ngeri itu memaksa polis India mengadakan operasi besar-besaran di daerah berhampiran, di mana hampir 20 orang termasuk jiran mangsa, sanak saudara dan pemandu auto (roda tiga) disoal sejak 24 jam lepas.

Sementara itu, Konsul Besar Malaysia yang berpejabat di Chennai, Anuar Kasman memberitahu Bernama, beliau telah pun menghantar para pegawai Malaysia ke Madurai untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung kejadian itu.

"Para pegawai kami mengunjungi keluarga mangsa hari ini tetapi mereka enggan bekerjasama. Mereka gagal menunjukkan sebarang kad pengenalan diri atau pasport.

Ia satu kes yang rumit, di luar bidang kuasa kami. Kami serahkan kepada polis," kata Anuar.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan