Azmin Minta Zaid Teliti Semula Hasrat Tubuh Parti Baru

Diterbitkan: Jumaat, 12 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali meminta bekas Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim meneliti semula sebarang hasrat untuk menubuhkan parti baru sekiranya beliau dipecat atau disingkirkan daripada parti itu.

Katanya cadangan itu diharap tidak akan berlaku kerana mengikut fahamannya, Zaid menyertai PKR dengan semangat untuk bersama-sama dengan pimpinan dan anggota PKR bagi meneruskan agenda reformasi serta melakukan perubahan.

"Dalam konteks ini kita berharap beliau dapat meneliti semula keputusan itu dan dapat meneruskan perjuangan dalam semangat muafakat untuk bersama-sama dengan PKR bagi meneruskan agenda perubahan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zaid semalam yang tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada PKR kerana membuat saranan supaya penasihat parti itu Datuk Anwar Ibrahim supaya berundur.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal dihadapi Zaid berikutan kenyataannya itu, Azmin berkata perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk menentukan bentuk tindakan kepada mana-mana anggota PKR yang telah melakukan kesalahan berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti.

"Jawatankuasa disiplin kena buat cadangan pada biro politik dan majlis pimpinan pusat untuk diputuskan dan setakat hari ini kita belum terima sebarang cadangan daripada jawatankuasa disiplin. Kita akan teliti sebaik sahaja kita terima," katanya.

Pada 8 November lepas, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan juga melepaskan semua jawatan dalam parti itu dengan alasan "terdapat penipuan dalam pemilihan".

Berikutan keputusan Zaid itu, pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR kini melibatkan Mohamed Azmin dan Mustaffa Kamil Ayub. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan