Anwar Hilang Kepercayaan, PKR Berdepan Kehancuran - Berita Semasa | mStar

Anwar Hilang Kepercayaan, PKR Berdepan Kehancuran

Diterbitkan: Jumaat, 12 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan dengan kehancuran berikutan kemelut dalaman yang berlaku dalam parti itu, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata sebahagian besar anggota PKR dilihat telah hilang kepercayaan terhadap penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mempunyai matlamat perjuangan sebaliknya hanya kepentingan peribadi dan keluarga.

"Percanggahan pendapat antara akar umbi dengan kepimpinan atasan menambah konflik dalaman dan menjadi punca krisis parti itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali di Hospital Teluk Intan di sini hari ini.

Katanya krisis dalaman PKR itu memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan rakyat terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Baru-baru ini, pergolakan dalam PKR berterusan apabila bekas calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim mendesak Anwar dan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali, yang juga calon timbalan presiden meletakkan jawatan masing-masing.

Zaid juga mendakwa pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu tidak telus.

Seorang lagi Naib Presiden parti yang juga pengerusi PKR Negeri Perak Mustaffa Kamil Ayub turut mendesak supaya pemilihan parti yang bermula 29 Okt lepas dibatalkan kerana dakwanya berlaku kepincangan dan beliau berjanji akan mengambil "tindakan" sekiranya memorandumnya kepada parti tidak dilaksanakan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan