Anwar Dicabar Lawan Zaid Dalam Pemilihan PKR

Diterbitkan: Jumaat, 12 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Bebas kawasan Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin hari ini mencadangkan supaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding menentang Datuk Zaid Ibrahim dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Zulkifli berkata Anwar wajar menyahut cabaran itu sekiranya beliau benar-benar mengamalkan prinsip demokrasi seperti yang sering diperkatakan dan menyerahkannya kepada anggota parti untuk membuat keputusan.

"Dia (Anwar) cakap mengamalkan demokrasi, bertanding tidak tetapi hendak jadi ketua. Sepanjang yang saya kenal dia (Anwar)...dia adalah seorang yang ego dan tidak boleh ditegur.

"Saya cabar Anwar lawan Zaid kalau berani satu lawan satu, kalau anak jantan lawan...kita tengok siapa yang akan menang, tetapi terlebih dulu senarai ahli untuk mengundi perlu dibersihkan daripada sebarang penyelewengan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Zulkifli turut mendakwa Ketua Pembangkang itu tidak mengamalkan prinsip demokrasi kerana memegang jawatan dalam parti tanpa perlu melalui sebarang pemilihan.

Mengenai cadangan Zaid yang ingin menubuhkan parti Keadilan baru sekiranya dipecat daripada parti, Zulkifli berkata Zaid tidak perlu berbuat demikian kerana PKR akan memanipulasi perkara itu selain menuduh Zaid menjadi alat kepada UMNO.

Isnin lepas Zaid yang dicalonkan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, menarik diri daripada pertandingan itu selepas mendakwa amalan pemilihan tidak adil dan berlaku salah guna kuasa.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN)menyiasat taraf kewarganegaraan Beginda Anak Minda atau Nor Azman Abdullah, yang anaknya dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.

"KDN kena siasat bagaimana seorang warganegara boleh mempunyai dua identiti yang berbeza dan mesti siasat sama ada pemberian dokumen rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak betul atau pemberian kepada pendaftaran nikah kahwin tak betul...tidak mungkin kedua-duanya betul..salah satu mesti palsu...ini membabitkan masalah keselamatan dalam negeri," katanya.

Menurutnya, Nor Azman pernah bertanding atas tiket PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dengan menggunakan nama Islam "Nor Azman Bin Abdullah atau Beginda" semasa Pilihan raya Negeri Sarawak 2001.Namun, Nor Azman tewas teruk, dengan memperoleh 173 undi, kepada calon Barisan Nasional (BN) Toh Heng San (3,845 undi).

Menurutnya, Nor Azman turut bertanding bagi kerusi Parlimen Kapit atas nama yang sama mewakili PKR semasa pilihan raya umum pada 1999, tetapi hanya mendapat 843 undi berbanding lawannya dari BN Alexander Nanta Linggi yang mendapat 12,157 undi.

Zulkifli yang pernah mengenali Nor Azman semasa menjadi antara peguam kes perbicaraan Anwar pada 1998, berkata pihak Berkuasa Agama Negeri Sarawak dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu menjalankan siasatan menyeluruh sama ada "Nor Azman atau Beginda" telah melakukan jenayah murtad.

Akhbar pada 5 Nov lepas melaporkan seorang ibu, Angela anak Jabing membuat aduan bersama sayap wanita PKR kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dengan mendakwa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan