Pergolakan PKR Memuncak, Wan Azizah Membisu

Diterbitkan: Khamis, 11 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergolakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan bekas calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim mendesak Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali, yang juga calon timbalan presiden, meletakkan jawatan masing-masing, belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Anggota parti itu yang menghadapi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), yang menurut Zaid tidak telus, menunggu bentuk tindakan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu.

Isnin lepas, Zaid mengumumkan menarik diri daripada pertandingan dan melepaskan jawatan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan serta semua jawatan-jawatan lain dalam parti.

Berikutan itu, seorang lagi Naib Presiden parti yang juga pengerusi PKR Negeri Perak Mustafffa Kamil Ayub turut mendesak supaya pemilihan parti yang bermula 29 Okt lepas dibatalkan kerana dakwanya berlaku kepincangan dan beliau berjanji akan mengambil "tindakan" sekiranya memorandumnya kepada parti tidak dilaksanakan.

Tempoh 48 jam yang diberikan kepada parti oleh Mustaffa tamat petang ini. Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Molly Cheah memberitahu pemberita petang ini, pemilihan itu tetap akan diteruskan.

"Pemilihan itu tidak boleh dihentikan dengan begitu mudah semata-mata kerana ada pihak mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem pemilihan. Orang kena faham untuk membuat sesuatu keputusan perlu ambil masa, setiap aduan kita perlu teliti dahulu," katanya.

Penganalisis politik berpendapat bahawa sikap Wan Azizah dalam menangani permasalahan parti berkemungkinan dipengaruhi faktor antara kesetiaan terhadap parti atau kepada suami.

"Sepatutnya sebagai presiden yang sah dan memiliki kesahan, beliau (Wan Azizah) perlu menyatakan pendiriannya supaya dilihat tidak tunduk kepada bayangan suaminya.

"Tanpa sebarang kenyataan daripada Wan Azizah, parti akan dilihat sekadar bergantung kepada presiden boneka dan jika itu keadaannya, barangkali Wan Azizah perlu melepaskan jawatan kepada Anwar daripada Anwar sekadar menjadi pemimpin de facto parti," kata Dr Sivamurugan Pandian kepada Bernama di sini, hari ini.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata: "persoalannya sekarang ialah adakah Wan Azizah sanggup menyanggah Anwar dan Mohamed Azmin serta mengutamakan kepentingan parti?."

Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas anggota Umno mendakwa dirinya telah tersilap apabila menawarkan diri untuk bertanding kerana menganggap PKR parti yang membawa politik progresif, mengembangkan demokrasi dan meningkatkan ketelusan.

Sebaliknya, beliau mendakwa sepanjang pemilihan PKR, kepimpinan parti itu membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Selasa lepas, Zaid menyatakan Anwar dan Mohamed Azmin perlu berundur dari parti kerana dakwanya mereka adalah punca segala masalah dalam parti. Pada hari sama Mustaffa tampil membuat pendiriannya.

Sivamurugan berkata tindakan mendiamkan diri, juga membuat orang bertanya adakah Wan Azizah boleh diibaratkan seolah-olah menyokong gesaan Zaid supaya Anwar dan Mohamed Azmin berundur dari PKR.

Persoalan lain yang timbul ialah apakah pemilihan MPP parti itu mampu memberikan nafas baru kepada PKR serta menjadikannya benar-benar menepati fungsinya sebagai parti pembangkang yang berkesan.

Pemilihan MPP yang berakhir 21 Nov ini menyaksikan 131 daripada keseluruhan 218 cabang bakal mengadakan pemilihan mereka bagi menentukan nasib kepimpinan baru yang akan menerajui parti bagi tempoh 2010-2013.

Sehingga Ahad lepas, sebanyak 87 cabang telah mengadakan pemilihan di mana Mohamed Azmin mendahului saingan jawatan timbalan presiden dengan memperoleh 6,467 undi, manakala Zaid (3,988) dan Mustaffa Kamil (1,215). - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan