Kos Tunai Haji Tidak Membebankan, Kata Jamil Khir

Diterbitkan: Khamis, 11 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JEDDAH: Subsidi mengerjakan haji akan diteruskan dan pada masa sama umat Islam diberi jaminan bahawa kos mengerjakan rukun Islam kelima itu tahun depan, tidak akan membebankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan menyedari keresahan umat Islam mengenai kos mengerjakan haji yang mungkin meningkat selaras dengan pembangunan di Mekah, khususnya di sekeliling Masjidil Haram.

"Subsidi diberikan tiap-tiap tahun sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada jemaah, dan kerajaan tidak mahu membebankan mereka," katanya kepada pasukan media yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah, di sini, Khamis.

"Walaupun kos mungkin naik, tetapi tidak akan sampai membebankan. Kos tahun ini tidak sampai RM10,000 setelah diberi subsidi RM3,060, dan ia masih rendah berbanding banyak negara lain," tambahnya.

Jamil Khir yang ditemui di pejabat Konsul Haji Malaysia di sini sebaik tiba dari Kuala Lumpur berkata Lembaga Tabung Haji (TH) diberi tanggungjawab meneliti kos bagi tahun depan termasuk kebajikan jemaah haji Malaysia.

Katanya TH sedang mengikuti perkembangan yang berlaku terutama di Mekah, kerana banyak bangunan lama dirobohkan dan digantikan dengan hotel-hotel baru bertaraf empat atau lima bintang selain projek pembesaran Masjidil Haram.

Beliau berkata projek ini memberi kesan terhadap beberapa bangunan yang disewa TH yang tamat tempoh kerana pemiliknya mengenakan kadar baru yang lebih tinggi.

Katanya TH sedang meneliti bersungguh-sungguh pelbagai aspek seperti tempat penginapan, makanan dan pengangkutan dengan perkembangan yang berlaku kerana tidak mahu membebankan jemaah yang berhasrat menunaikan haji pada masa hadapan.

Sementara itu, Jamil Khir meminta jemaah haji Malaysia supaya berdoa agar gelombang kedua banjir yang diramal melanda Kedah dan Perlis bulan ini atau bulan depan tidak berlaku.

"Banjir kali pertama sudah cukup membebankan rakyat yang akan menyambut Aidil Adha Rabu ini. Banyak lagi majlis kenduri akan berlangsung pada musim cuti sekolah ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan