Jabatan Penjara Laksana Tiga program Kurangkan Jumlah Banduan

Diterbitkan: Khamis, 11 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Jabatan Penjara sedang melaksanakan tiga inisiatif bagi mencapai matlamat satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan kadar jenayah dengan kaedah mengurangkan residivis iaitu banduan berulang kali masuk penjara dan membantu bekas banduan memulakan kehidupan baru selepas dibebaskan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiga usaha iaitu Program Pemasyarakatan Banduan, Perintah Kehadiran Wajib dan Rumah Perantaraan akan dilaksanakan pada April 2011 iaitu selepas semua keperluan berkaitan tempat tinggal, latihan dan lain-lain keperluan pemulihan banduan di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat siap dibina.

Katanya melalui program ini, banduan akan bekerja dan ditempatkan di kem ATM dengan Jabatan Penjara menguruskan program ini dengan kerjasama ATM.

Seramai 430 petugas Jabatan Penjara dipilih untuk terlibat dengan program dan pembinaan penempatan seramai 1,428 banduan akan bermula bulan depan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Penjara Bentong yang disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Hishammuddin berkata jumlah banduan yang terlibat dalam program itu akan berbeza setiap hari berdasarkan tarikh pembebasan mereka.

Katanya banduan terlibat merupakan semua yang dihukum penjara setahun dan ke atas dan mempunyai baki hukuman tidak melebihi 24 bulan kecuali banduan kategori banduan hukuman mati, hukuman seumur hayat, tahanan reman Akta Keselamatan Dalam Negeri dan beberapa kategori lain.

"Program ini adalah lanjutan daripada program pemulihan di dalam penjara di mana banduan dipilih berdasarkan kelayakan dan akan bekerja atau berkhidmat kepada masyarakat di luar penjara tetapi masih tinggal di dalam premis yang diwartakan sebagai penjara dan dikawal oleh Pegawai Penjara," kata Hishammuddin.

Beliau berkata pekerjaan banduan di kem-kem ATM melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan kebersihan kawasan dan bangunan, pengindahan dan pembaikan kecil.

Setakat ini lima kem ATM iaitu Kem Tok Jalai, Alor Star, Kedah; Kem Mahkota Kluang, Johor; Kem Batu 10 dan Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang; Kem Desa Pahlawan, Kelantan dan Kem Syed Sirajuddin Gemas, Johor terlibat dengan program itu.

Bagi Perintah Tahanan Wajib, Hishammuddin berkata program itu merupakan hukuman alternatif kepada pemenjaraan yang dilaksanakan melalui Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461).

Menurut akta itu, mahkamah boleh menggantikan hukuman penjara bagi kesalahan-kesalahan ringan dengan mengeluarkan satu perintah kepada pesalah untuk menghadirkan diri di Pusat Kehadiran Wajib selama tidak melebihi tiga bulan dan menjalankan kerja-kerja wajib tidak melebihi empat jam sehari.

Program yang bermula sejak 1 Sept lepas melibatkan 68 pesalah yang melakukan kerja pembersihan kawasan persekitaran bandaran, kerja di hospital, tempat rekreasi, premis-premis kerajaan, rumah anak yatim dan sebagainya bersama petugas pihak berkuasa tempatan.

"Semasa menjalani program ini, pesalah masih boleh tinggal bersama keluarga dan bekerja seperti biasa dan mereka hanya melakukan kerja yang diperintahkan untuk khidmat masyarakat di luar waktu bekerja," katanya.

Program Rumah Perantaraan menempatkan banduan bebas yang tiada tempat tinggal dan pekerjaan termasuk Orang Diparol yang tidak mempunyai keluarga dan ia beroperasi dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hishammuddin berkata melalui program itu, banduan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan dalam masa tiga bulan di samping khidmat sokongan kaunseling berterusan manakala pengurusan rumah dijalankan oleh Pegawai Parol dengan dibantu NGO.

Sehingga Selasa lepas, seramai sembilan orang menginap di Rumah Perantaraan 1Malaysia Kuala Lumpur iaitu satu-satunya Rumah Perantaraan yang telah beroperasi.

Rumah Perantaraan berperanan mengurangkan kes berulang, mengatasi stigma sosial, mengurangkan kos kerajaan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas banduan.

"Kita serius untuk meningkatkan NKRA dan saya berharap inisiatif-inisiatif ini mampu memperkukuhkan peranan Jabatan Penjara sebagai organisasi koreksional bertaraf dunia menjelang 2020," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan