Pemilihan Timbalan Presiden PKR: Azmin Masih Di Depan

Diterbitkan: Isnin, 8 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mendahului dua calon lain dengan 4,378 undi pada minggu kedua di 78 cabang yang mengundi bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi tempoh 2010-2013 sehingga Ahad.

Persaingan itu turut diikuti rapat oleh Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim (3,410) dan Pengerusi PKR Perak yang juga Naib Presiden parti Mustaffa Kamil Ayub dengan (1,181).

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman ketika sidang media bagaimanpun berkata, PKR masih menunggu keputusan sembilan lagi cabang bagi melengkapkan keputusan itu.

Sharifah berkata, sembilan cabang itu termasuk satu cabang di Pasir Mas, Kelantan dan lapan di Sabah, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Libaran, Sepangar, Putatan, Sipatang, Beluran.

"Bagaimanapun peratusan keluar mengundi tinggi di Sabah dan kami menjangkakan angka itu akan terus meningkat di tempat pengundian seterusnya," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pengunduran Zaid daripada PKR, Sharifah bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Keputusan yang dibuat oleh Zaid belum rasmi kerana setakat ini beliau belum menghantar sebarang surat rasmi kepada JPP (Jawatankuasa Pusat Parti).

"Kita perlu tunggu kenyataan daripada JPP dan Zaid sendiri," katanya.

Bagi jawatan naib presiden, anak sulung penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah masih mendahului saingan dengan 4,845 undi manakala Pengarah Strategi Parti Tian Chua (3,933) dan diikuti rapat oleh Pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mansor Othman (3,552).

Jawatan naib presiden yang mempunyai empat kerusi menyaksikan 17 calon bertanding termasuk Pengarah pilihan Raya Pusat PKR Fuziah Salleh dan Ansari Abdullah yang merupakan calon PKR pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Seramai 132 calon menawarkan diri untuk mengisi 20 tempat dalam jawatankuasa MPP, dan Pengarah Penerangan Kerajaan Selangor, Dr Badrul Amin Baharon mendahului pencabar lain dengan 3,786 undi.

Beliau diikuti Pengarah Pemantapan Politik Keanggotaan PKR, Datuk Johari Abdul, 3,082 undi dan Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong Keat Ping, 2,895 undi.

Sementara itu, persaingan bagi jawatan ketua Wanita PKR menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin masih mendahului dua calon lain dengan 1,568 undi meninggalkan pencabarnya Timbalan Pengerusi 2 Perlis, Dr Suraya Sudin dengan 570 undi undi manakala anggota MPP Animah Ferrar 489 undi.

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan anggota MPP Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard menyaksikan Shamsul Iskandar memperoleh kelebihan sebanyak 27 undi berbanding Badrul hisham yang hanya memperoleh 1,428 undi.

Mesyuarat pemilihan membabitkan 222 cabang PKR yang bermula 29 Oktober lalu akan berakhir 21 November ini, diikuti dengan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 26 November depan, di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan