Lim Kit Siang Saman NSTP Kerana Siar Artikel Fitnah Semasa PRK Galas

Diterbitkan: Isnin, 8 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang pada Isnin menfailkan saman fitnah terhadap The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 Nov lepas.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Karpal Singh & Co, di sini, petang Isnin.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim mendakwa NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyebabkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh UMNO kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian.

Lim berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau telah berucap di satu ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di Kelantan, di mana beliau telah menuduh orang Melayu Umno kafir dan beliau adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan saling benci-membenci di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Lim mendakwa penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos.

Lim mendakwa defendan (NSTP) langsung tidak memohon maaf kepadanya walaupun mereka sememangnya mengetahui keadaan sebenar, malahan ralat yang disiarkan oleh NSTP pada akhbarnya keesokan hari, adalah tidak ikhlas dan menjadikan kesan lebih teruk kepada plaintif. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan